LIMBANG: Penduduk Kampung Binjai, Sungai Limbang kini boleh menarik nafas lega ekoran penangkapan buaya pembunuh yang menyerang sekali gus meragut nyawa Nurfazilah Abdul Rahman, 26 Julai lalu.
Sarawak Forestry Corporation (SFC) menerusi kenyataan akhbar semalam mengesahkan, buaya pembunuh itu dijerat awal pagi semalam oleh Swift Wildlife Action Team (SWAT) dan dilaporkan berada dalam keadaan cedera parah.
Ekoran keadaan buaya pembunuh itu yang dikatakan mempunyai peluang tipis untuk sembuh dari kecederaannya, SFC mengambil keputusan untuk menamatkan nyawa buaya ganas berkenaan.
“Operasi mencari dan memburu buaya itu kali pertama yang dijalankan dari 4 hingga 9 Ogos lalu tidak berhasil. Kami tidak berputus asa untuk memburunya lagi buat kali kedua iaitu pada 5 September lalu.
“Hasil buruan kali kedua membuahkan hasil apabila buaya itu berjaya dijerat dan berada dalam keadaan kritikal sebelum kami memutuskan menamat nyawa dan menguburkannya di kawasan berdekatan ia ditangkap,” jelas kenyataan akhbar itu.
Difahamkan, ukuran panjang buaya pembunuh itu adalah 14 kaki tiga inci dan operasi pemburuan SFC itu juga turut dibantu ahli keluarga dan saudara mangsa. - UB
Buaya Pembunuh Sungai Limbang Berjaya Ditangkap
Reviewed by uMieySurianie
on
September 11, 2015
Rating:

No comments: