KUCHING: Kapal kargo yang membawa muatan 500 tan barangan am dikhuatiri rosak enjin dan hanyut di Laut China Selatan sejak Sabtu lalu, ketika dalam pelayaran dari Kuching ke Limbang.
Ketua Penguatkuasa Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Wilayah Sarawak Laksamana Pertama Ismaili Bujang Pit berkata, kapal kargo itu sepatutnya tiba di Pelabuhan Limbang pada 5 September selepas berlepas dari Pelabuhan Kuching, 2 September lalu.
"Berdasarkan laporan yang diterima, kali terakhir kapal yang didaftarkan atas nama 'Sah Lian' itu dapat dihubungi pada 3 September dan dimaklumkan perjalanan mereka lancar.
"Bagaimanapun, kehilangannya disedari selepas kapal itu tidak tiba dipelabuhan sejak 5 september lalu dan usaha menghubungi anak kapal gagal," katanya ketika dihubungi petang tadi.
Ismaili berkata, selepas usaha mencari dan menyelamat (SAR) dilakukan, sehingga kini belum ada sebarang perkembangan mengenai kapal itu dan 14 kru, termasuk kapten kapal.
"Lokasi terakhir kapal itu dikesan sebelum kehilangannya adalah di Tanjung Sirit berhampiran Perairan Belawai, Sarikei.
"Kita tidak menolak kemungkinan kapal itu rosak enjin dan menyebabkannya hanyut," katanya.-HMetro
Kapal Kargo Dipercayai Hanyut Di Laut China Selatan
Reviewed by Unknown
on
September 09, 2015
Rating:

No comments: