SIBU: Komuniti Melanau digesa supaya menggembleng tenaga serta membentuk usahasama dalam pelbagai bidang bersama komuniti lain sekiranya ingin mencapai kecemerlangan berterusan.
Menteri Muda di Pejabat Ketua Menteri (Promosi Pendidikan Teknikal) Datuk Len Talif Salleh berkata komuniti itu tidak boleh bergerak dalam kelompok mereka sahaja kerana Sarawak turut didiami kelompok pelbagai etnik.
Mereka yang telah mengecapi kejayaan dalam bidang masing-masing pula perlu membantu orang lain dalam komuniti itu untuk turut sama berjaya, katanya pada Malam Citra Warna dan Anugerah Persatuan Melanau Sibu (PMS) di sini malam tadi.
Pada majlis itu, 21 anak anggota PMS yang mendapat keputusan cemerlang dalam peperiksaan Ujian Penilaian Sekolah Rendah (UPSR), Ujian Bertulis Pentaksiran Tingkatan 3 (PT3), Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan Ijazah tahun 2014-2015 menerima insentif kewangan antara RM50 hingga RM250 setiap seorang.
Len Talif, yang juga anggota Lembaga Amanah Persekutuan Persatuan Melanau Sarawak, melahirkan rasa bangga melihat semua komuniti Melanau di seluruh negeri itu bersatu-padu dan bekerjasama erat.
"Kita harus berbangga kerana walaupun Melanau adalah etnik minoriti tetapi dapat bekerjasama dalam pelbagai bidang," katanya.
Dalam pada itu, Len Talif berkata keunikan seni dan budaya komuniti Melanau adalah tinggi nilainya selain memiliki daya tarikan tersendiri yang berpotensi diketengahkan ke peringkat dunia.
PMS merupakan badan bukan kerajaan yang kini berusia 58 tahun dan mempunyai 1,040 anggota.
-- BERNAMA
Komuniti Melanau Digesa Gembleng Tenaga Bersama Komuniti Lain
Reviewed by Unknown
on
November 30, 2015
Rating:

No comments: