GEORGE TOWN: Asher Paul Ang hanya berusia 18 tahun tetapi mahasiswa dari Rawang, Selangor, ini mungkin bakal menjadi rakyat Malaysia paling muda yang dijemput menghadiri majlis pengisytiharan Presiden dipilih Amerika Syarikat (AS) Donald Trump.
Ang, pelajar tahun ketiga program ijazah sarjana muda Sains Politik di Dallas Baptist University di Texas, menerima tiket eksklusif untuk menghadiri peristiwa bersejarah di bangunan Capitol di Washington, Jumaat.
"Saya sangat berbesar hati mendapat peluang seumur hidup untuk mewakili Kelab Republikan Kolej bagi universiti saya, di mana saya baru sahaja dilantik sebagai presiden.
"Lebih satu juta orang dijangka menghadiri majlis tersebut. Tetapi, tiket ini membolehkan saya duduk di salah satu tempat duduk di Union Square, betul-betul di belakang tempat duduk VIP.
"Tiket ini biasanya berharga AS$600 (RM2,666) atau lebih," katanya kepada The Star dalam satu temu bual telefon dari Dallas, Rabu.
Ang, yang menyertai kelab itu ketika memasuki universiti pada 2015 berkata ia merupakan satu ganjaran yang memuaskan kerana beliau dan ahli-ahli kelab telah bertugas sebagai sukarelawan perayu undi melalui telefon semasa kempen pilihan raya presiden.
Selain mahu mengambil gambar dan video peristiwa bersejarah itu, beliau berharap dapat menjalin hubungan dengan rakan-rakan dari Kelab Republikan Kolej lain dan mungkin juga akan bertemu dengan beberapa orang kenamaan.
"Mungkin sukar untuk bertemu Presiden Trump tetapi jika saya dapat peluang, saya akan mengambil gambar 'wefie' dengannya.
"Saya juga berharap untuk bertanya kepadanya tentang perspektif beliau berkaitan pengukuhan hubungan diplomatik dengan Malaysia dan negara-negara Asean lain," katanya.
Ang, yang akan mengambil penerbangan selama tiga jam dari Dallas ke Washington berkata beliau juga telah dijemput untuk menghadiri tiga acara lain yang dianjurkan sempena hari bersejarah ini.
"Saya akan menamatkan pengajian pada Mei tahun depan. Impian utama saya adalah untuk menjadi duta diplomatik dan penasihat politik.
"Saya percaya bahawa politik adalah cara terbaik bagi mempengaruhi dasar-dasar untuk rakyat dan juga untuk membawa perubahan positif yang boleh memberi manfaat kepada orang ramai," katanya.
Menghadiri perasmian presiden dan terdedah kepada senario politik AS juga akan menjadi satu pengalaman berguna, katanya.
Beliau berharap dapat menerapkan apa yang dipelajarinya di sana di Malaysia pada masa akan datang.-mStar
Pelajar Malaysia Dapat Jemputan Ke Majlis Angkat Sumpah Trump
Reviewed by Unknown
on
January 19, 2017
Rating:
No comments: