Jururawat wanita dan pemandu parah selepas ambulans dinaiki mereka terbabas dan menjunam ke lereng tebing jalan di Kilometer 57, berhampiran Kalumpang, Tawau, hari ini.
Dalam kejadian jam 1.30 pagi itu, jururawat berusia 27 tahun patah tulang belakang dan luka di kepala manakala pemandu ambulans patah tulang punggung dan bahu kiri.
Dua lagi penumpang ambulans iaitu seorang doktor lelaki dan pembantu perubatan lelaki berusia 25 dan 28 tahun tidak mengalami kecederaan.
Ketua Polis Daerah Tawau Asisten Komisioner Fadil Marsus berkata, ketika kejadian ambulans itu dalam perjalanan dari Hospital Tawau menuju ke Hospital Semporna.
"Sebaik tiba di lokasi kejadian, ambulans itu dipercayai hilang kawalan lalu terbabas dan jatuh ke tebing jalan sebelah kiri.
"Pemandu mengalami patah tulang punggung dan tulang bahu kiri manakala jururawat patah tulang belakang dan luka di kepala.
"Kedua-dua mangsa yang parah dibawa ke Hospital Tawau untuk rawatan lanjut," katanya ketika dihubungi.
Fadil berkata, siasatan awal di tempat kejadian dipercayai kemalangan berlaku akibat kecuaian pemandu ambulans yang gagal mengawal kenderaan sehingga terbabas.
"Bagaimanapun siasatan masih diteruskan mengikut Seksyen 43(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987," katanya.-myMetro
Bahana Ambulans 'Terbang'
Reviewed by Unknown
on
December 28, 2017
Rating:
No comments: