Penganggur lelaki didakwa di Mahkamah Majistret Batu Gajah di Batu Gajah hari ini, atas dua pertuduhan iaitu menakutkan secara jenayah dan menyebabkan kecederaan ke atas ibu kandungnya, Isnin lalu.
Tertuduh, Halim Jeri, 48, bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan jurubahasa di hadapan Majistret Mohd Fitri Sadarudin.
Bagi pertuduhan pertama, Halim didakwa menakutkan secara jenayah terhadap Kutom Jali, 67, di rumahnya di Kampung Gajah pada 10.45 pagi hingga 11 pagi, Isnin lalu.
Dia didakwa mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan dan jika sabit kesalahan boleh dipenjara maksimum dua tahun atau denda atau kedua-duanya.
Manakala bagi pertuduhan kedua, dia didakwa dengan sengaja menyebabkan kecederaan ke atas ibu kandungnya itu yang dilakukan pada masa dan lokasi sama.
Bagi pertuduhan itu, dia didakwa mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan dan sabit kesalahan boleh dipenjara sehingga setahun atau dengan denda maksimun RM2,000 atau kedua-duanya sekali.
Pendakwaan dijalankan Timbalan Pendakwa raya Nur Farhana Hashim manakala tertuduh diwakili peguam Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK) R Yuvaraj.
Nur Farhana memohon mahkamah tidak membenarkan jaminan diberikan berikutan mangsa adalah ibunya dan berkemungkinan tertuduh akan mengganggu semula mangsa.
Bagaimanapun, Yuvaraj memohon mahkamah mempertimbangkan masalah kesihatan dialami tertuduh iaitu penyakit gout dan kencing manis.
Mohd Fitri kemudiannya membenarkan tertuduh dijamin sebanyak RM4,000 dengan seorang penjamin bagi kedua-dua pertuduhan dan menetapkan syarat tambahan tertuduh tidak dibenarkan mengganggu mangsa dan kes akan disebut semula 16 Januari ini.
Portal Harian Metro kelmarin melaporkan lelaki berkenaan ditahan polis selepas menumbuk ibunya sendiri kerana gagal mendapatkan ganti rugi sebanyak RM40,000 yang dilaburkan untuk mengubah suai rumah ibunya itu Isnin lalu.
Difahamkan, mangsa yang tidak bekerja berada di rumah sebelum didatangi anak lelakinya itu untuk meminta duit sebagai ganti rugi rumah yang sudah diubah suai olehnya.
Ketua Polis Daerah Perak, Tengah Superintendan Mohamad Zainal Abdullah berkata, suspek sebelum ini tinggal bersama mangsa namun selepas berkahwin lelaki itu dikatakan berubah perangai sebelum mangsa menghalaunya keluar dari rumah.
Mohamad Zainal berkata, selain menumbuk mangsa, suspek turut mengambil parang dan mengugut dengan mengatakan "nyawa kome aku ambil, ingat!" sebelum beredar dari rumah.
Katanya, suspek kemudiannya ditahan pada 6.30 petang, Isnin lalu di Jejawi.-myMetro
Ini Manusia Atau Anak Jembalang?
Reviewed by Unknown
on
December 28, 2017
Rating:
No comments: