PUTRAJAYA: Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menafikan dakwaan kononnya terdapat hampir empat juta pengundi pos pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14), dan sebahagian besarnya anggota Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA).
Pengerusi SPR, Tan Sri Mohd Hashim Abdullah, dalam satu kenyataan hari ini, menjelaskan bahawa kekeliruan itu mungkin berlaku kerana anggota RELA disalah erti sebagai termasuk dalam kategori anggota Sukarelawan Simpanan Polis DiRaja Malaysia (PVR).
Katanya, dalam warta bertarikh 23 Oktober 2017, jelas bermaksud bahawa hanya anggota PVR yang dilantik di bawah seksyen 35 Akta Polis 1967 dan diperaku oleh majikannya bahawa ia menjalankan tugas pada hari mengundi saja diberikan kemudahan pengundi pos.
"Perkara 3(1) hingga (4) Peraturan-Peraturan Pilihan Raya (Pengundian Pos) 2003, menetapkan bahawa mana-mana warganegara yang sudah mendaftar sebagai pemilih boleh mengundi secara pos, dengan syarat mereka perlu tergolong dalam satu daripada kategori yang ditetapkan oleh SPR.
"Sehingga PRU Ke-13, SPR menetapkan beberapa kategori pengundi dalam negara yang boleh memohon untuk menjadi pengundi pos, iaitu anggota tentera dan anggota polis yang tidak dapat hadir semasa hari pengundian awal, selain petugas media dan petugas pilihan raya yang bertugas di luar bahagian pilihan raya mereka berdaftar.
"Bagi kategori pemilih di luar negara pula, kakitangan awam yang berkhidmat di luar negara dan pasangan, pelajar sepenuh masa yang belajar di luar negara dan pasangan, serta rakyat Malaysia yang disenaraikan sebagai Pengundi Tidak Hadir turut diberikan kemudahan pengundian secara pos," katanya.
Mohd Hashim berkata, baru-baru ini SPR mewartakan beberapa kategori tambahan untuk mengundi secara pos membabitkan anggota keselamatan, kesihatan dan perkhidmatan yang bertugas pada hari mengundi, kerana tidak dapat meninggalkan tugas mereka pada hari mengundi, demi memastikan keselamatan, kesihatan dan perkhidmatan kepada rakyat terjamin.
Kemudahan pengundian pos itu tidak diberi secara automatik, sebaliknya mereka hendaklah memohon sebagai pengundi pos dengan perakuan oleh ketua jabatan masing-masing, apabila tempoh permohonan dibuka oleh SPR melalui pemakluman rasmi.
Beliau turut menegaskan, mereka yang tidak memohon tidak layak menjadi pengundi pos, dan jumlah sebenar anggota dalam kategori yang terbabit dengan pengundian pos hanya dapat diketahui secara tepat selepas permohonan itu dibuka dan diterima.
Mengenai saranan supaya SPR mengamalkan pengiraan undi awal pada hari yang sama selepas pengundian seperti yang dilakukan oleh negara lain, Hashim berkata, SPR berpandangan ia tidak praktikal kerana akan mempengaruhi pola pengundian pada hari mengundi.
"Jika sebahagian keputusan diketahui lebih awal, ia dikhuatiri akan mempengaruhi sentimen sesetengah pihak dan menjejaskan pola pengundian, bahkan selang dua hari sebelum hari mengundi juga dikhuatiri akan menggalakkan berlakunya situasi di luar kawalan, terutama dalam aspek salah laku kempen dan keselamatan awam.
"SPR memberi jaminan bahawa setiap undi rahsia dan pemilih bebas untuk menentukan pilihan mereka. SPR juga menyelar dakwaan tidak berasas yang dibuat oleh pihak tertentu tanpa fakta yang sahih dan menganggap ia berniat mengelirukan rakyat pada saat menjelangnya PRU-14," katanya. - BH
Anggota RELA Bukan Pengundi Pos
Reviewed by Unknown
on
January 02, 2018
Rating:
No comments: