SINGAPURA: Harga minyak dibuka tertinggi bagi Januari hari ini sejak 2014, dengan Brent dan West Texas Intermediate (WTI) menokok ke paras tertinggi pertengahan 2015, disokong pemotongan bekalan yang diterajui OPEC dan Russia, selain faktor permintaan kukuh.
WTI berada pada AS$60.64 satu tong pada 0220 GMT, naik 22 sen, atau 0.4 peratus, selepas mencecah paras tertinggi Jun 2015 pada AS$60.68 pada awal dagangan.
Penanda aras antarabangsa Brent didagangkan pada AS$67.20 satu tong, naik 33 sen, atau 0.5 peratus, selepas mencecah paras tertinggi Mei 2015 pada AS$67.23 pada awal dagangan.
Ia kali pertama sejak Januari 2014 kedua-dua penanda aras minyak mentah itu dibuka pada awal tahun melepasi paras AS$60 satu tong.
"Penyusutan inventori global dan pertumbuhan ekonomi kukuh mengimbangi operasi semula saluran paip Forties dan penyambungan semula pengeluaran susulan ganguan bekalan di Libya," kata Jeffrey Halley, penganalisis pasaran kanan di Oanda Singapura.
Saluran paip Forties yang berkeupayaan menyalurkan 450,000 tong minyak sehari di Laut Utara, kembali beroperasi sepenuhnya pada 30 Disember selepas penutupan yang tidak dirancang.
Lebih bersandarkan asas ekonomi, pasaran minyak disokong pemotongan pengeluaran yang diterajui OPEC dan Russia. Pemotongan itu bermula pada Januari 2017 dan dijadualkan berterusan sehingga 2018.
Pertumbuhan permintaan kukuh, terutamanya dari China, juga menyokong harga minyak mentah.
"Inventori minyak susut sejak Mac 2017 dan OPEC bersetuju untuk melanjutkan pemotongan pengeluaran sehingga akhir 2018. Adil untuk berkata tinjauan fundamental bagi minyak bertambah baik sejak awal 2017," kata William O'Loughlin, penganalisis pelaburan di Rivkin Securities Australia.
Inventori minyak mentah komersial AS susut hampir 20 peratus daripada paras tertinggi Mac tahun lalu, kepada 431.9 juta tong.
Hanya peningkatan pengeluaran di AS, yang akan melepasi 10 juta tong sehari, sedikit sebanyak membantutkan tinjauan 2018.
"Harga yang lebih tinggi akan meningkatkan lagi pengeluaran minyak syal AS," kata O'Loughlin. - Reuters
Harga minyak dibuka pada paras tertinggi sejak 2014
Reviewed by Azmin
on
January 02, 2018
Rating:
No comments: