KUNDASANG: Pasukan mencari dan menyelamat (SAR) yang beroperasi di Gunung Kinabalu menjumpai sembilan mayat hari ini susulan gempa bumi yang melanda daerah Ranau, Sabah semalam.
Ini menjadikan jumlah kematian akibat bencana alam pada pukul 7.15 pagi Jumaat itu meningkat kepada 11 setakat ini. Dua mayat dibawa turun dari gunung tertinggi di Asia Tengara itu malam tadi.
Menurut Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Sabah Datuk Seri Masidi Manjun, lapan individu masih belum dapat dikesan.
Beliau berkata identiti mayat yang dijumpai hari ini, belum dikenal pasti.
"Pihak forensik daripada PDRM (Polis Diraja Malaysia) sudah pun tiba di sini untuk mengenal pasti mereka yang berkenaan, dan kenyataan lanjut akan dikeluarkan pihak polis nanti," katanya kepada media di pusat operasi yang dibuka di Taman Kinabalu, pintu masuk ke gunung itu di sini.
"Kenyataan akan dikeluarkan apabila semua tugasan mengenal pasti mereka yang terlibat sudah diselesaikan," kata Masidi.
Beliau berkata anggota pasukan SAR sedang berusaha sedaya upaya untuk mengesan mereka yang hilang.
Gegaran akibat gempa bumi sederhana berukuran 5.9 pada skala Richter yang melanda Ranau semalam turut dirasai di kawasan seperti Tambunan, Tuaran, Kota Kinabalu dan Kota Belud.
Gegaran lemah dikesan hingga lewat malam tadi. - Bernama
Gempa: Sembilan Lagi Mayat Dijumpai, Lapan Individu Masih Hilang
Reviewed by Salfian Nawawi
on
June 06, 2015
Rating:
No comments: