Seo Services

Sarawak Mahu Beli Saham MasWings, Bukan Tubuh Syarikat Penerbangan - Abang Johari


KUCHING: Kerajaan Negeri Sarawak tidak pernah mempunyai rancangan untuk menubuhkan sebuah syarikat penerbangan yang baharu, kata Menteri Perumahan dan Pelancongan Sarawak Datuk Amar Abang Johari Tun Openg.

Beliau berkata sebaliknya kerajaan negeri hanya berminat untuk membeli saham syarikat penerbangan MasWings dalam Khazanah Nasional.

"Kami (kerajaan negeri) bukan bodoh mahu menubuhkan sebuah syarikat penerbangan yang baharu ... apa yang kami rancangkan adalah untuk membeli saham Maswings dalam Khazanah Nasional supaya kerajaan negeri mempunyai syer (saham) dalam MasWings," katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat jawatankuasa penganjur Anugerah Pelancongan Hornbill Sarawak 2015 di sini Isnin.

Beliau berkata demikian sebagai menyangkal laporan sebuah akhbar tempatan semalam yang menyatakan kerajaan negeri Sarawak mengambil keputusan tidak bijak kerana mahu menubuhkan sebuah syarikat penerbangan yang baharu.

Menurutnya rundingan antara kerajaan negeri dan Khazanah Nasional mengenai rancangan pembelian saham dalam Maswings itu masih berjalan sambil beliau berharap rundingan itu akan mencapai keputusan positif.

Abang Johari berkata dengan memiliki saham dalam syarikat penerbangan itu, kerajaan negeri Sarawak akan mempunyai kuasa dalam soal dasar syarikat, khususnya berkaitan laluan penerbangan antarabangsa menghubungkan negeri Sarawak.

"Apa yang berlaku sekarang syarikat penerbangan sesuka hati membuat keputusan untuk menghentikan penerbangan terus dari Kuching ke laluan antarabangsa tanpa memberi notis kepada kita (kerajaan negeri).

"Tindakan syarikat penerbangan terbabit membatalkan penerbangan laluan terusnya bagi laluan antarabangsa telah menjejaskan sektor pelancongan negeri ini," katanya.

Sementara itu, Abang Johari berkata Sarawak berkemungkinan berjaya mencapai sasarannya untuk menerima lima juta pelancong ke negeri ini tahun ini walaupun negara sedang dilanda fenomena jerebu.

Katanya, dari Januari hingga Ogos tahun ini seramai 3.1 juta pelancong melawat Sarawak dan kebanyakan mereka dari negara ASEAN terutama Brunei dan Indonesia, manakala pelancong dari China merosot kepada 21,000 orang sahaja.

Abang Johari turut mengucapkan terima kasih kepada kerajaan pusat kerana dalam pembentangan Bajet 2016 telah mengecualikan Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) untuk penerbangan sektor luar bandar.

-- BERNAMA
Sarawak Mahu Beli Saham MasWings, Bukan Tubuh Syarikat Penerbangan - Abang Johari Sarawak Mahu Beli Saham MasWings, Bukan Tubuh Syarikat Penerbangan - Abang Johari Reviewed by Unknown on October 26, 2015 Rating: 5

No comments:

ads 728x90 B
Powered by Blogger.