Seo Services
Results for Berita Sarawak

Dua lagi suspek kes tipu kerja di Kemboja diberkas

February 25, 2019

KUCHING: Polis menahan dua individu termasuk seorang wanita bagi membantu siasatan kes penipuan tawaran pekerjaan melibatkan 47 warga Malaysia di Kemboja.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Superintenden Mustafa Kamal Gani Abdullah berkata kedua-dua suspek yang berusia 35 tahun ditangkap di dua buah rumah berasingan di Traffic Garden dan Taman Chung Hua di sini, sekitar 5 petang Ahad.

"Siasatan lanjut sedang dijalankan. Sekiranya siasatan tidak dapat diselesaikan dalam tempoh 24 jam, permohonan reman di bawah Seksyen 117 Kanun Prosedur Jenayah akan dibuat di Mahkamah Majistret Kuching pada 25 Februari (hari ini).

"Kedua-dua suspek akan dibawa ke mahkamah pada pukul 2 petang ini," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Menurut Mustafa, pihaknya turut merampas telefon bimbit, kad mesin pengeluaran wang automatik (ATM) dan kad kredit dari kedua-dua suspek.

Beliau menambah ujian saringan awal polis turut mendapati suspek lelaki positif dadah jenis syabu.

Mustafa Kamal menambah sehingga hari ini, polis telah menerima sebanyak 23 laporan dari 18 lelaki dan lima wanita berhubung kes penipuan pekerjaan melibatkan 47 rakyat Malaysia di Kemboja.

Kes disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan.

Sementara itu, seorang lelaki berusia 35 tahun sedang menjalani tahanan reman berhubung kes sama.

Suspek yang ditangkap pada Sabtu, direman selama empat hari sehingga Khamis bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan. - UTUSAN BORNEO
Dua lagi suspek kes tipu kerja di Kemboja diberkas  Dua lagi suspek kes tipu kerja di Kemboja diberkas Reviewed by Admin on February 25, 2019 Rating: 5

GPS hanya fokus dengan pembangunan rakyat

February 24, 2019

KUCHING: Gabungan Parti Sarawak (GPS) hanya akan fokus dengan pembangunan untuk Sarawak sejajar dengan wawasan Allahyarham Tok Nan.

Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Haji Johari Tun Abang Haji Openg berkata, GPS tidak akan terjebak dengan permainan politik sepertimana yang berlaku di Semenanjung.

"Jika Kerajaan Persekutuan Pakatan Harapan (PH) tidak mahu membina jambatan-jambatan kita di Sarawak.. Biar kita GPS sendiri yang membina jambatan untuk rakyat."

"Politik kita bukannya bergaduh.. Politik kita adalah penyatuan rakyat dan menyediakan pembangunan untuk rakyat," katanya lagi.

Beliau berkata demikian dalam ucapannya pada Majlis Perasmian Jambatan Bako di Bako yang sepanjang 228 meter bernilai RM45 juta sebentar tadi.

"Dulu Allahyarham Tok Nan menghalang UMNO dari masuk ke Sarawak sehinggakan saya sendiri di tuduh sebagai" agen UMNO" tapi sekarang siapa yang membawa parti Malaya (PPBM) ke sini.. Roket lah (DAP) yang bawa, " katanya lagi.

"GPS ikhlas membantu rakyat sehinggakan sanggup memberi pinjaman berjumlah RM1 bilion kepada Kerajaan Persekutuan namun hanya dipersetujui oleh mereka baru-baru ini."

Beliau juga menegaskan pinjaman RM1 bilion untuk adalah untuk pembayaran hutang Kerajaan Sarawak kepada Kerajaan Persekutuan.

Pada majlis yang sama, Abang Johari juga mengumumkan perancangan Kerajaan Sarawak bagi pembinaan dan pelebaran jalan konkrit dalam Kampung Bako (2 km), Jambatan Buntal jalanraya dari Bako ke Buntal (8.5km).

Terdahulu, Abang Johari meminta mereka yang hadir pada majlis tersebut bertafakur dan membaca Al-Fatihah untuk Allahyarham Tok Nan.

Kredit:: Salfian Nawawi
GPS hanya fokus dengan pembangunan rakyat  GPS hanya fokus dengan pembangunan rakyat Reviewed by Admin on February 24, 2019 Rating: 5

Polis digesa lebih agresif perangi dadah di Samarahan

February 02, 2019

KOTA SAMARAHAN: Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Muara Tuang Datuk Idris Buang mahu pihak berkuasa memerangi masalah dadah dengan lebih agresif di bahagian Samarahan yang merupakan antara lokasi panas di negeri ini.

Beliau memberitahu, usaha memerangi harus dilakukan lebih tegas dengan melibatkan semua pihak termasuk pihak berkuasa seperti Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) di kawasan tersebut.

"Saya amat berdukacita melihat anak-anak muda terutamanya pelajar sekolah di bahagian ini terlibat dalam masalah dadah yang mana semakin hari semakin membimbangkan.

"Oleh itu, saya mahu pihak berkuasa seperti polis bertindak lebih agresif dalam usaha kita memerangi dadah di kawasan ini," katanya ketika berucap pada majlis penutupan Program Kampungku Bersih Dari Dadah 2019 peringkat bahagian Samarahan di Dewan Suarah Kota Samarahan di sini hari ini.

Idris pada masa sama turut melahirkan rasa kesal dengan ketiadaan wakil polis dalam menjayakan program tersebut.

Sehubungan itu, beliau akan meminta penjelasan daripada Polis Daerah Kota Samarahan mahupun Polis Sarawak berhubung perkara tersebut.

Tegasnya, penglibatan polis dalam program itu penting agar usaha memerangi najis dadah dapat dilaksanakan dengan lebih berkesan.

"Ini adalah cara kita untuk bersama-sama memerangi anasir dadah yang sebenarnya akan sentiasa melumpuhkan hidup bukan sahaja anak-anak kita yang menjadi mangsa ketagihan dadah tetapi menyebabkan sesebuah keluarga itu hilang kebahagiaan," tambahnya.

Katanya lagi, tanpa penglibatkan polis, maka usaha untuk memerangi masalah dadah akan menjadi sia-sia.

"Ini diibaratkan seperti peperangan, kalau tidak ada askar atau polis bagaimana kita hendak melumpuhkan musuh," tegasnya.

Terdahulu Pegawai Daerah Samarahan Mohd Annie Wahab berkata, pihaknya merancang untuk memperluaskan program itu di setiap 55 kampung yang ada di bahagian tersebut.

"Pada masa ini kita telah berjaya melaksanakan program ini di 26 kampung dan berharap ia dapat diperluaskan di kampung-kampung lain pada masa akan datang," ujarnya.

Pada program anjuran Pejabat Daerah Samarahan dan Majlis Pembangunan Sosial Sarawak dengan kerjasama AADK Samarahan itu menyaksikan Kampung Niup dinobatkan sebagai johan Program Kampungku Bersih Dari Dadah diikuti Kampung Naie Baru dan Kampung Sindang.

Hadir sama Residen Bahagian Samarahan Ibrahim Lumpu dan tetamu kehormat lain. - UTUSAN BORNEO

Polis digesa lebih agresif perangi dadah di Samarahan Polis digesa lebih agresif perangi dadah di Samarahan Reviewed by Admin on February 02, 2019 Rating: 5

Baru Bian Umum Lebuhraya Pan Borneo Tiada Kutipan Tol

January 26, 2019

Kerajaan persekutuan telah bersetuju tidak akan mengenakan kutipan tol bagi Lebuhraya Pan Borneo, di Sarawak atau Sabah.

Menteri Kerja Raya Baru Bian berkata kerajaan baharu pakatan memegang prinsip iaitu mahukan jaringan perhubungan infra yang sama seperti di Semenanjung sesuai dengan aspirasi rakyat Sarawak.

"Saya menyifatkan Projek Pan Borneo ini sebagai satu projek kejuruteraan terhebat di Kepulauan Borneo," katanya pada majlis perasmian jajaran Telok Melano ke Sematan Lebuhraya Pan Borneo Sarawak hari ini.

Jajaran Telok Melano sepanjang 33km itu yang siap sepenuhnya pada 4 Jan 2019 dengan melibatkan kos RM580 juta dirasmikan oleh Ketua Menteri Sarawak Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg.

Kilometer 0.00 Lebuhraya Pan Borneo Sarawak dengan kos keseluruhan RM16.49 bilion, bermula di Teluk Melano dan jajaran berkenaan merentas timur Tempat Lindungan Liar Samunsam.

Baru berkata kerjasama erat antara kerajaan pusat dan negeri dalam membawa perubahan landskap infra di Sarawak akan terus dilakukan bersama-sama.

Beliau berkata kewujudan jajaran berkenaan membolehkan peluang ekonomi diteroka di kawasan berpotensi terutama dalam sektor ekopelancongan di Telok Melano yang terletak di hujung selatan Sarawak.

Katanya projek Pan Borneo Sarawak itu akan membuka banyak peluang pekerjaan kepada penduduk tempatan yang turut menjadi pemangkin kepada kemajuan Koridor Tenaga Diperbaharui Sarawak (SCORE).

"Seramai 10,300 anak Sarawak terlibat dengan projek ini secara langsung dan tidak langsung dalam pembinaan seperti kontraktor, perunding, pembekal dan vendor," katanya.

Untuk keseluruhan projek Pan Borneo Sarawak yang dijangka siap sepenuhnya pada Jun 2021, beliau berkata ia melibatkan pembinaan 115 jambatan, 25 persimpangan bertingkat, tiga kawasan Rehat dan Rawat serta enam hentian.

Beliau turut menyeru kontraktor dan vendor bumiputera yang berkelayakan menyertai tender bagi kerja-kerja pembinaan tersebut.
-- Bernama
Baru Bian Umum Lebuhraya Pan Borneo Tiada Kutipan Tol Baru Bian Umum Lebuhraya Pan Borneo Tiada Kutipan Tol Reviewed by Admin on January 26, 2019 Rating: 5

Sarawak Perlukan Pemimpin Yang Berjuang Untuk Semua Kaum

January 24, 2019

KUCHING: Rakyat memerlukan pemimpin yang mampu memperjuangkan hak serta kepentingan semua kaum di negeri ini, kata Timbalan Ketua Pergerakan Pemuda Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) Fazzrudin Abdul Rahman

Beliau berkata demikian sebagai membidas kenyataan Abdul Aziz Isa yang mendakwa cadangan kerajaan negeri Sarawak untuk menaiktaraf Mahkamah Adat Bumiputera bukan dari Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg, sebaliknya cadangan itu datang dari Ketua Hakim Negara Tan Sri Richard Malanjun.

Fazzrudin berkata, Aziz mungkin masih tidak menyedari betapa pentingnya perpaduan dalam pelbagai kaum dan agama di Sarawak.

"Kita memerlukan seorang pemimpin yang bukan hanya mampu berjuang untuk rakyat berbangsa Dayak , tetapi juga Melayu, Melanau, Jawa dan lain-lain

"Sentimen seperti itu tidak akan baik untuk Sarawak. Budaya DAP Semenanjung tidak dialu-alukan di Sarawak," katanya menerusi kenyataan hari ini.

Beliau menjelaskan, dalam kes Mahkamah Anak Negeri di Sarawak, Kerajaan Sarawak telah menaik taraf dan memperkasakan Mahkamah Bumiputera secara berterusan sejak ordinan itu diwujudkan pada tahun 1992.

Fazzrudin yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tupong berkata, sekiranya dia (Aziz) terlupa, semasa Simposium Kebudayaan Iban ke-7, yang dipengerusikan oleh YB Datuk Alexander Nanta Linggi pada tahun 2018, ia telah dibincangkan di kalangan peserta secara khusus menyentuh dan meminta untuk meningkatkan bidang kuasa Mahkamah Bumiputera.

"Resolusi mengenai perkara itu telah diusulkan kepada Ketua Menteri.

"Ketua Menteri, seperti kebiasaannya, memberi tindak balas positif, malah ianya dijadikan salah satu teras perjuangan Gabungan Parti Sarawak (GPS)," jelasnya.

Beliau menegaskan, dengan mengatakan bahawa cadangan Ketua Menteri hanya mengulangi apa yang dibentangkan oleh Tan Sri Richard Malanjun di Sabah pada Khamis lepas sama seperti mengatakan Mancester United yang melantik Solksjaer atau hanya mengulangi apa yang telah dibincangkan di Facebook.
Sarawak Perlukan Pemimpin Yang Berjuang Untuk Semua Kaum Sarawak Perlukan Pemimpin Yang Berjuang Untuk Semua Kaum Reviewed by Admin on January 24, 2019 Rating: 5

Harga 70% barangan di 10 pasar raya di Kuching menurun: Chong

January 20, 2019

KUCHING: Harga bagi 70 peratus barangan di 10 pasar raya di bandar raya ini didapati menurun jika dibanding pada tahun lepas.

Perkara itu ditegaskan Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna Chong Chien Jen pada sidang media di Ibu Pejabat KPDNHEP di sini, semalam.

Beliau mendedahkan, antara barangan itu, bawang putih China dan bawang merah India yang didapati turun sekitar 40 hingga 50 peratus termasuk harga telur ayam yang juga didapati turun.

Bagaimanapun katanya, harga bagi 20 peratus barangan lain pula dikesan mengalami kenaikan yang mana senarai harga itu direkodkan oleh petugas pemantau harga yang dilantik oleh kementeriannya.

Senarai yang digunakannya untuk perbandingan itu bagi tempoh 1 Januari 2018 dan 1 Januari tahun ini, melibatkan 90 jenis barangan di 10 pasar raya di Kuching merangkumi Boulevard, Emart Batu Kawa, Emart Matang, Everrise Batu 4 1/2, H&L Eastern Mall, Giant Petra Jaya, Giant Tabuan Jaya, Servay EG Mall, Servay Summer Mall dan Upwell Gita.

“Secara keseluruhan, harga bagi 70 peratus barangan kebanyakannya makanan didapati telah menurun. Peratusan penurunan harga ini diambil dari satu barangan ke barangan lain dan satu tempat ke tempat lain.

“Harga didapati turun dan stabil ekoran tiada lagi GST (Cukai Barangan dan Perkhidmatan). Inilah logiknya kerana di bawah GST, ia dikenakan di beberapa peringkat.

“Di bawah GST, rakyat membayar RM44 bilion setahun jika dibandingkan dengan SST (Cukai Jualan dan Perkhidmatan) yang mana rakyat hanya membayar RM21 bilion setahun,” katanya.

Jelasnya lagi, secara keseluruhannya, pengguna membayar RM23 bilion lebih rendah dari penggunaan cukai setahun dan pengguna ini kebanyakannya dari kalangan berpendapatan rendah.

Pada masa sama, beliau memberitahu, KPDNHEP akan meneruskan usaha secara berterusan bagi memantau harga barangan terutamanya ketika musim perayaan Tahun Baharu Cina (TBC).

Menurut Chong lagi, langkah itu bagi memastikan tiada peniaga mengambil kesempatan mengaut keuntungan ketika musim perayaan.

“Secara amnya, harga barangan terutamanya makanan akan mengalami penurunan yang sedikit, namun bagi kedai makanan dan restoran pula adalah perkara berbeza kerana mereka menyediakan perkhidmatan kepada pelanggan,” ujarnya.

Selain itu Chong berkata, banyak pasar raya mini dibuka sejak akhir-akhir ini yang pastinya akan memberi persaingan kepada pasar raya besar lain.

Katanya, dengan peningkatan persaingan ini, ia sudah pastinya akan menyebabkan penurunan harga barangan.

“Kita percaya dengan persaingan akan memberi kesan kepada harga barangan dan ia semestinya memberi kebaikan kepada pengguna,” katanya.

Dalam perkembangan lain, Chong menjelaskan isu susu formula yang didapati rosak berlaku di Kuala Lumpur melibatkan seorang pengguna.

“Kita telah menerima aduan ini dan mengambil maklum perkara tersebut untuk tindakan sewajarnya dan kita juga membawa perkara ini kepada Kementerian Kesihatan kerana ia di bawah kementerian tersebut,” jelasnya. - UTUSAN BORNEO
Harga 70% barangan di 10 pasar raya di Kuching menurun: Chong Harga 70% barangan di 10 pasar raya di Kuching menurun: Chong  Reviewed by Admin on January 20, 2019 Rating: 5

Semangat Team Tok Nan Akan Diteruskan GPS

January 20, 2019

KUCHING: Semangat Team Tok Nan akan diteruskan okeh Gabungan Parti Sarawak (GPS) demi kelangsungan pembangunan Sarawak.

Presiden GPS Datuk Patinggi Abang Haji Johari Tun Abang Haji Openg berkata, GPS dibawah pimpinannya bersama rakan-rakan seperjuangan yang lain akan meneruskan perjuangan Allahyarham Pehin Sri Adenan Satem.

"Walaupun Tok Nan sudah pergi, tetapi semangat Team Tok Nan masih ada dan inilah yng kita akan teruskan," katanya lagi.

Abang Johari, yang juga merupakan Ketua Menteri, Sarawak menambah, GPS merupakan entiti yang akan memastikan masa depan Sarawak terus terjamin.

Berperinsipkan Utamakan Sarawak, GPS yang dianggotai oleh empat parti komponen iaitu, PBB, PRS, SUPP dan PDP akan menjadikan sebagai objektif utama dalam perjuangan.

Beliau berkata demikian dalam ucapannya pada Majlis Pelancaran Rasmi GPS di Stadium Perpaduan sebentar tadi.

"Sarawak hanya mahukan hak-haknya di dalam Perjanjian Malaysia 1963 dan Perlembagaan Persekutuan dihormati.., tidak lebih dan tidak kurang dari itu," tegasnya lagi.

Oleh: Salfian Nawawi


#iamSarawakian #IbuPertiwiku #GPS FLAG RALLY 2019
Semangat Team Tok Nan Akan Diteruskan GPS Semangat Team Tok Nan Akan Diteruskan GPS Reviewed by Admin on January 20, 2019 Rating: 5

Aidel Yakin Penduduk Pesisir Sokong Penuh GPS

January 18, 2019

NAIB Ketua Pemuda Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) Aidel Lariwoo melahirkan keyakinan penduduk kawasan pesisir menyokong penuh perjuangan Gabungan Parti Sarawak (GPS).

Beliau berkata, ini kerana kebanyakan penduduk percaya GPS yang dipimpin 100 peratus anak tempatan mempunyai kemampuan melaksanakan lebih banyak program pembangunan.

Sehubungan itu menurutnya, rakyat Sarawak termasuk penduduk kawasan pesisir perlu mengelak daripada terpengaruh dengan propaganda parti dari Semenanjung Malaysia.

Aidel yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sadong Jaya menjelaskan, di bawah GPS, kerajaan Sarawak akan terus menuntut hak negeri ini terutama melibatkan hasil bumi seperti minyak dan gas.

Tambahnya, Sarawak tidak mahu hanya menjadi pemerhati lagi kepada pembangunan pesat yang dilaksanakan di Semenanjung Malaysia.

Untuk itu katanya, Sarawak tidak lagi dapat mengharapkan orang luar mentadbir negeri ini.

Aidel percaya GPS akan kembali mentadbir kerajaan Sarawak selepas Pilihan Raya Negeri (PRN) akan datang.

Beliau berkata demikian pada Jelajah Bendera GPS di Sadong Jaya hari ini.

#iamSarawakian #IbuPertiwiku #GPS FLAG RALLY 2019
Aidel Yakin Penduduk Pesisir Sokong Penuh GPS Aidel Yakin Penduduk Pesisir Sokong Penuh GPS Reviewed by Admin on January 18, 2019 Rating: 5

Upacara Miring Mulakan Jelajah Bendera GPS Di Kanowit

January 14, 2019

JELAJAH Bendera GPS menampilkan sedikit kelainan dengan upacara miring dijalankan sebelum program bermula.

Kanowit menjadi destinasi kesembilan sebelum rombongan diketuai Ketua Pemuda Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Layar Gerald Rentap Jabu meneruskan perjalanan ke Kapit.

ADUN Ngemah, Alexander Vincent berkata, penduduk Kanowit perlu memelihara GPS seperti menjaga burung kenyalang yang merupakan spesis yang dilindungi.

Menurutnya, negeri ini tidak lagi bertuankan orang luar kerana mempunyai platform sendiri yang ditadbir 100 peratus anak Sarawak.

Tambahnya, parti komponen di bawah GPS sebelum ini sudah terbukti kemampuannya dalam menunaikan janji ketika bersama Barisan Nasional (BN).

Jelasnya, walaupun kerajaan pusat kini ditadbir Pakatan Harapan (PH), kerajaan Sarawak di bawah GPS akan terus berusaha menyediakan kemudahan infrastruktur kepada rakyat termasuk di Kanowit.

Sementara itu menurut ADUN Machan, Allan Siden Gramong, penduduk Kanowit perlu memberi sokongan padu kepada GPS yang diterajui anak tempatan.

Tambahnya, keputusan parti komponen di Sarawak keluar Barisan Nasional (BN) bukan sebab derhaka sebaliknya mahu pentadbiran negeri ini diterajui anak tempatan.

Jelasnya, GPS juga amat istimewa kerana menghimpunkan ahli pelbagai suku kaum di Sarawak.

#iamSarawakian #IbuPertiwiku #GPS FLAG RALLY 2019
Upacara Miring Mulakan Jelajah Bendera GPS Di Kanowit Upacara Miring Mulakan Jelajah Bendera GPS Di Kanowit Reviewed by Admin on January 14, 2019 Rating: 5

Masyarakat Selangau Masih Penyokong Kuat GPS

January 13, 2019

AHLI Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tamin Christopher melahirkan keyakinan penduduk Selangau masih kekal sebagai penyokong tegar Gabungan Parti Sarawak (GPS).

Menurutnya, ia berdasarkan kehadiran lebih 1,500 orang masyarakat Selangau menyambut ketibaan Jelajah GPS dari Mukah diketuai ADUN Layar, Gerald Rentap Jabu.

Sehubungan itu beliau menasihati penduduk Selangau tidak terpengaruh dengan janji manis parti dari Semenanjung Malaysia.

Kerajaan pusat di bawah Pakatan Harapan (PH) katanya menangguhkan projek pembangunan termasuk di Selangau walaupun sudah diluluskan sebelum ini.

Bagaimanapun jelasnya, rakyat Sarawak termasuk penduduk Selangau bernasib baik kerana penubuhan GPS membawa lembaran baharu kepada hala tuju negeri ini tanpa perlu bergantung kepada orang luar.

Christopher berkata demikian pada Program Jelajah Bendera GPS di Dewan SJK (C) Tong Ah Selangau hari ini.

Sementara itu, Ketua Pemuda Parti Rakyat Sarawak (PRS) Datuk Snowdan Lawan berkata, penduduk Selangau perlu memastikan kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Tamin dan DUN Kakus kekal milik GPS pada Pilihan Raya Negeri (PRN) akan datang.

Menurutnya, orang luar tidak mempunyai kemampuan menjaga Sarawak kerana kebiasaannya hanya bijak membuat janji manis.

#iamSarawakian #IbuPertiwiku #GPS FLAG RALLY 2019
Masyarakat Selangau Masih Penyokong Kuat GPS Masyarakat Selangau Masih Penyokong Kuat GPS Reviewed by Admin on January 13, 2019 Rating: 5

GPS Perlu Tubuh Tabung Khas Bantu Golongan Memerlukan

January 13, 2019
Pemimpin GPS bertafakur sejenak bagi memperingati Allahyarham Tok Nan

PERGERAKAN Pemuda dan Wanita Gabungan Parti Sarawak (GPS) mencadangkan tabungan khas diwujudkan untuk membolehkan bantuan kebajikan dapat disalurkan secara terus kepada penerima.

Ketua Pemuda Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) Gerald Rentap Jabu berkata, kewujudan tabung itu penting untuk membolehkan bantuan dapat disalurkan secara terus dan segera.

Malah menurutnya, proses penyaluran bantuan kepada mangsa kebajikan dan golongan memerlukan juga dapat disalurkan dengan mudah tanpa perlu melalui banyak proses.

Sehubungan itu beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Layar berharap Dato Sri Fatimah Abdullah yang merupakan menteri bertanggungjawab menjaga kebajikan rakyat Sarawak dapat membantu merealisasikan impian tersebut.

Gerald berkata demikian pada Jelajah Bendera GPS di Tebingan Mukah hari ini.

Sementara itu katanya, GPS sudah cukup matang untuk menentukan hala tuju dan mentadbir Sarawak.

Tambahnya, GPS juga akan memastikan setiap lapisan masyarakat mendapat pembelaan sama rata.

#iamSarawakian #IbuPertiwiku #GPS FLAG RALLY 2019
GPS Perlu Tubuh Tabung Khas Bantu Golongan Memerlukan GPS Perlu Tubuh Tabung Khas Bantu Golongan Memerlukan Reviewed by Admin on January 13, 2019 Rating: 5

Masyarakat Berbilang Agama Di Mukah Lakukan Upacara Memperingati Pemergian Tok Nan

January 12, 2019

PERPADUAN masyarakat berbilang kaum di Sarawak terus teserlah apabila setiap kaum menjalankan upacara memperingati Allahyarham Pehin Sri Adenan Satem.

Allahyarham Adenan meninggal dunia pada 11 Januari 2017 di Pusat Jantung Kota Samarahan.

Hari ini penduduk Mukah yang kukuh dalam aspek perpaduan turut tidak ketinggalan melakukan upacara memperingati Allahyarham Adenan.

Kira-kira 1,000 penduduk Islam melakukan upacara tahlil dan bacaan Yaasin di Masjid Setia Raja manakala masyarakat Kristian pula mengadakan sembahyang khas di Gereja Katolik St. Paul.

Upacara khas itu dianjurkan Gabungan Parti Sarawak (GPS) Zon Mukah diketuai Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Dalat Dato Sri Fatimah Abdullah yang juga Menteri Kebajikan, Kesejahteraan Komuniti, Wanita, Keluarga dan Pembangunan Kanak-Kanak.

Esok, jelajah bendera GPS akan diteruskan di Tebingan Mukah sebelum perjalanan menuju ke Selangau.

#iamSarawakian #IbuPertiwiku #GPS FLAG RALLY 2019
Masyarakat Berbilang Agama Di Mukah Lakukan Upacara Memperingati Pemergian Tok Nan  Masyarakat Berbilang Agama Di Mukah Lakukan Upacara Memperingati Pemergian Tok Nan Reviewed by Admin on January 12, 2019 Rating: 5

GPS Platform Teruskan Usaha Tok Nan Tuntut Hak Sarawak

January 12, 2019

GABUNGAN Parti Sarawak (GPS) dilihat sebagai platform terbaik meneruskan usaha bekas Ketua Menteri Allahyarham Pehin Sri Adenan Satem menuntut hak Sarawak yang terhakis.

Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg berkata, sebagai entiti bebas, kerajaan Sarawak di bawah GPS boleh membuat perancangan sendiri tanpa bergantung kepada pihak luar.

Malah menurutnya, usaha membangunkan Sarawak selepas ini akan berjalan lebih lancar tanpa gangguan sekaligus memberikan kehidupan aman damai dan harmoni kepada rakyat.

Tambahnya, kerajaan Sarawak akan berusaha meningkatkan taraf kehidupan rakyat kepada tahap leboh baik.

Abang Johari berkata demikian pada majlis penyerahan bendera GPS di Dewan Suarah Bintulu hari ini.

Sementara itu, Presiden Parti Demokratik Progresif (PDP) Dato Sri Tiong King Sing berkata, GPS merupakan gagasan politik yang menentukan masa depan rakyat Sarawak.

Sehubungan itu jelasnya, setiap rakyat Sarawak memberi sokongan tanpa padu kepada GPS demi masa depan lebih baik.

Oleh: Salfian Nawawi

#iamSarawakian #IbuPertiwiku #GPS FLAG RALLY 2019
GPS Platform Teruskan Usaha Tok Nan Tuntut Hak Sarawak GPS Platform Teruskan Usaha Tok Nan Tuntut Hak Sarawak Reviewed by Admin on January 12, 2019 Rating: 5

"Sarawak Diutamakan" Teras Perjuangan GPS

January 12, 2019

MIRI: Sebagai parti anak tempatan, Gabungan Parti Sarawak (GPS) akan berjuang berlandaskan prinsip 'Sarawak Diutamakan'.

Malah Naib Presiden Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP) Datuk Lee Kim Shin berkata, logo berbentuk burung kenyalang melambangkan GPS melindungi hak dan kepentingan Sarawak dan rakyatnya.

Menurutnya, penubuhan GPS membawa lembaran baharu kepada pembangunan politik Sarawak.

Tambahnya, kerajaan Sarawak yang kini di bawah GPS juga boleh memperkenalkan polisi, keputusan dan perancangan tanpa dipengaruhi pihak luar.

Sehubungan itu tegasnya, GPS perlu bersifat mesra rakyat dalam memastikan gabungan tersebut terus relevan sepanjang masa.

Beliau yang juga Menteri Muda Pelancongan, Keseniaan dan Kebudayaan berkata demikian ketika berucap pada Program Jelajah Bendera GPS di Dewan Suarah Miri malam ini.

Miri menjadi destinasi ketiga hentian rombongan jelajah bendera GPS selepas Lawas dan Limbang.

Bagi Ketua Pemuda SUPP, Michael Tiang, penubuhan GPS adalah landasan tepat untuk membolehkan anak Sarawak memajukan negeri ini mengikut acuan sendiri.

Tambahnya, GPS yang melibatkan empat parti komponen tempatan perlu sentiasa bekerjasama bagi memastikan Sarawak terus harmoni dan maju. - IbuPertiwiKu.com
"Sarawak Diutamakan" Teras Perjuangan GPS "Sarawak Diutamakan" Teras Perjuangan GPS Reviewed by Admin on January 12, 2019 Rating: 5

Jelajah GPS Limbang Dimulakan Dengan Tafakur Kepada Allahyarham Tok Nan

January 11, 2019

JELAJAH Bendera Gabungan Parti Sarawak (GPS) yang berlangsung di Dewan Suarah Limbang dimulakan dengan upacara bertafakur seminit bagi memperingati pemergian bekas Ketua Menteri Allahyarham Pehin Sri Adenan Satem.

Allahyarham Adenan Satem atau lebih mesra dengan dipanggil Tok Nan meninggal dunia pada 11 Januari 2017 di Pusat Jantung Kota Samarahan.

Setiausaha Agung Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP) Datuk Sebastian Ting berkata, hari ini genap dua tahun Tok Nan meninggal dunia sama dengan permulaan jelajah bendera GPS.

Menurutmya, Tok Nan semasa hayatnya sudah berupaya sedaya upaya untuk membawa perubahan kepada Sarawak menerusi pelbagai dasar yang diperkenalkannya.

Sehubungan itu, Sebastian yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Piasau menggesa ahli GPS perlu mencontohi semangat Tok Nan yang meletakkan Sarawak sebagai nombor satu dihatinya ketika mentadbir.

Jelasnya, hanya parti anak tempatan sahaja yang mampu mentadbir negeri ini dengan sebaik mungkin kerana mengetahui denyut nadi rakyat.

Sementara itu, Menteri Muda Pertanian, Dr Abdul Rahman Ismail berkata, keempat-empat parti komponen di bawah GPS perlu terus bergerak untuk memberi penerangan kepada setiap lapisan masyarakat.

Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Kota menjelaskan, GPS di Limbang akan berjuang mempertahankan Batu Danau dan Bukit Kota sebagai kubu kuat GPS.

Menurutnya, sejak dari dulu lagi rakyat Limbang merupakan penyokong tegar parti yang memerintah Sarawak dalam usaha melindungi dan mengambil balik hak Sarawak.

Oleh: Salfian Nawawi

#iamSarawakian #IbuPertiwiku #GPS FLAG RALLY 2019
Jelajah GPS Limbang Dimulakan Dengan Tafakur Kepada Allahyarham Tok Nan Jelajah GPS Limbang Dimulakan Dengan Tafakur Kepada Allahyarham Tok Nan Reviewed by Admin on January 11, 2019 Rating: 5

RM2.3 juta untuk kuil Hindu cerminkan dasar inklusif - Uggah

January 10, 2019

Masyarakat Hindu di Kuching akan mempunyai kemudahan ibadat tambahan berikutan peruntukan RM2.3 juta oleh kerajaan negeri diluluskan untuk pembinaan dewan serbaguna di Kuil Sri Maha Mariamman, Batu Lintang.

Timbalan Ketua Menteri Datuk Amar Douglas Uggah yang juga menteri bertanggungjawab menjaga Unit Hal Ehwal Agama-Agama Lain (UNIFOR) berkata, langkah itu mencerminkan dasar inklusif kerajaan terhadap pelbagai agama dan kepercayaan yang dianuti rakyat di Sarawak.

“Jawatankuasa kuil perlu memastikan peruntukan yang diluluskan itu digunakan dengan bijak. Unifor akan memantau projek berkenaan untuk memastikan ia dilaksanakan dengan jayanya,” katanya ketika menyerahkan cek peruntukan itu, yang dibiayai di bawah Projek Rakyat (sebelum ini dikenali sebagai Projek Walkabout) kepada Kuil Sri Maha Mariamman di Kuching hari ini.

Bagi projek-projek sebelum ini yang diluluskan pada 2017 dan 2018, beliau berkata Unifor turun padang ke seluruh Sarawak untuk memantau projek berkenaan dan mengesahkan permohonan baharu yang diterima tahun ini sebelum mengemukakannya kepada Jawatankuasa Penilaian Projek untuk pertimbangan.

“Kerajaan menggesa rakyat supaya mengekalkan toleransi, penerimaan dan saling menghormati dalam kalangan rakyat dengan pelbagai kepercayaan agama di Sarawak agar kita dapat terus hidup dalam suasana aman dan harmoni,” katanya. - Bernama
RM2.3 juta untuk kuil Hindu cerminkan dasar inklusif - Uggah RM2.3 juta untuk kuil Hindu cerminkan dasar inklusif - Uggah Reviewed by Admin on January 10, 2019 Rating: 5

Tunggakan bayar balik hutang Sarawak RM46.5 juta - Lim

January 09, 2019

KUCHING: Menteri Kewangan, Lim Guan Eng (gambar) menegaskan baki hutang Kerajaan Sarawak adalah berjumlah RM2.43 bilion dan masih ada tunggakan bayaran balik hutang sebanyak RM46.5 juta.

Menurut Lim, ia adalah berasaskan rekod Kerajaan Persekutuan pada 31 Disember 2018.

"Ingin ditekankan bahawa kenyataan media Kementerian Kewangan pada 6 Januari lalu menggunakan jumlah seperti pada 30 November 2018, iaitu baki hutang adalah lebih daripada RM2.5 bilion dan tunggakan bayaran balik hutang hampir RM50 juta.

“Berasaskan rekod Kerajaan Persekutuan pada 31 Disember 2018, baki hutang dan tungakan bayaran balik negeri Sarawak adalah masing-masing berada pada RM2.43 bilion dan RM46.5 juta.

"Bagaimanapun, pada 7 Januari 2019, Kerajaan Negeri Sarawak telah mengeluarkan kenyataan bahawa hutangnya kepada kerajaan persekutuan pada 31 Disember 2018 berjumlah RM2.38 bilion dan semua pinjaman daripada kerajaan persekutuan telah dibayar balik mengikut jadual yang ditetapkan tanpa sebarang tunggakan hutang," katanya menerusi kenyataan media hari ini.

Mengenai Hasil Cukai Pelancongan yang dikutip sejak September 2017 tetapi tidak dibayar oleh kerajaan terdahulu, kata Lim, ia akan dibayar oleh kerajaan baharu pada suku pertama tahun 2019.

“Sehubungan itu, kerajaan negeri Sarawak diminta berhubung dengan Kerajaan Persekutuan untuk mendapat maklumat dan fakta yang benar dan berasas demi mewujudkan kerjasama yang kukuh dengan Kerajaan Persekutuan seperti yang dijanjikan dan bukan sebaliknya,” katanya.

Menurut Lim, Kerajaan Negeri Sarawak telah melakukan serangan terhadap Kerajaan Persekutuan dan mempertikaikan mengapa Negeri Sarawak tidak menerima Hasil Cukai Pelancongan 2018 seperti mana yang dibayar kepada negeri Sabah

“Kerajaan Negeri Sabah sendiri telah mengeluarkan kenyataan menafikan kenyataan kerajaan Negeri Sarawak bahawa Sabah telah menerima Hasil Cukai Pelancongan.

"Jelas sekali Kerajaan Negeri Sarawak telah membuat dakwaan palsu dan berniat fitnah terhadap kerajaan Persekutuan," ujarnya. - UTUSAN BORNEO

Tunggakan bayar balik hutang Sarawak RM46.5 juta - Lim Tunggakan bayar balik hutang Sarawak RM46.5 juta - Lim   Reviewed by Admin on January 09, 2019 Rating: 5

Jajaran Telok Melano-Sematan boleh dilalui jika diwartakan

January 06, 2019
Foto: Kosmo

KUCHING – Lebuhraya Pan Borneo Jajaran Telok Melano–Sematan sepanjang 32.77km yang siap dibina sejak dua hari lepas hanya boleh dilalui sekiranya ia telah diwarta dan dirasmikan pembukaannya.

Kementerian Pembangunan Infrastruktur dan Pengangkutan Sarawak dalam kenyataan hari ini, berkata pada masa ini, hanya kenderaan tertentu sahaja dibenarkan menggunakan jajaran tersebut.

“Sudah tentu ramai pengguna jalan raya ingin merasai sendiri pengalaman memandu di Lebuhraya Pan Borneo, namun orang awam diminta untuk tidak menggunakan jalan ini sehinggalah ia diwarta dan pembukaan mengenainya diumum secara rasmi.

“Orang ramai dinasihati supaya akur dengan arahan ini serta merta. Tindakan akan diambil ke atas kenderaan awam yang didapati tidak mematuhi arahan tersebut,” kata kenyataan itu.- Bernama
Jajaran Telok Melano-Sematan boleh dilalui jika diwartakan  Jajaran Telok Melano-Sematan boleh dilalui jika diwartakan Reviewed by Admin on January 06, 2019 Rating: 5

Kerajaan GPS ada kesefahaman dengan Pusat - Abang Johari

January 05, 2019

Gabungan Parti Sarawak (GPS) yang memerintah kerajaan negeri mempunyai kesefahaman dan bekerjasama dengan kerajaan persekutuan demi kepentingan rakyat, kata Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg.

Abang Johari, yang juga pengerusi GPS, berkata cara itu adalah pendekatan GPS setelah mengambil keputusan untuk keluar dari BN dan membentuk GPS yang berteraskan kepada parti anak Sarawak selepas pilihan raya ke 14.

Contohnya, kerajaan negeri bersedia untuk membangunkan kawasan agropolitan seluas 809 hektar (2,000 ekar) dekat Sri Aman, Lingga atas permintaan kerajaan persekutuan supaya dapat membantu mengeluarkan bahan makanan dan industri.

“Kerajaan Persekutuan (Pakatan Harapan) telah menulis surat kepada saya melalui Tun Daim Zainuddin (Pengerusi Jawatankuasa Majlis Penasihat Kerajaan) mengenai perkara berkenaan dan saya berkata ‘sanggup’.

“Bermaknanya ada kesefahaman di antara Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri… kita friendly lah walaupun daripada parti yang lain untuk rakyat kita bekerjasama,” katanya pada majlis perasmian Fiesta Samariang di Kampung Lintang di Kuching, hari ini.

Abang Johari berkata GPS adalah satu saluran politik yang boleh mempertahankan hak orang Sarawak dalam persekutuan Malaysia mengikut parameter Perlembagaan Persekutuaan namun kerjasama dengan Kerajaan Persekutuan amat penting.

Dalam pada itu, beliau memberi jaminan bahawa pembangunan di kawasan Samariang, termasuk Kampung Lintang, akan terus dilaksanakan melalui maklum balas yang diterima daripada masyarakat setempat.

Kerajaan Negeri harus mempunyai perhubungan mesra dan mantap dengan rakyat menerusi respon yang seimbang dengan sambutan daripada mereka seperti melaksanakan projek menaik taraf kawasan.

“Mengikut keadaan zaman yang sedang berubah, sudah tentu pendekatan kita untuk berhubung dengan rakyat agak berubah sedikit kerana rakyat telah mahir dan mempunyai kepakaran yang tertentu,” katanya.

Turut hadir pada majlis itu, anjuran Dewan Bandaraya Kuching Utara (DBKU), termasuk Anggota Dewan Undangan Samariang Sharifah Hasidah Sayeed Aman Ghazali dan Datuk Bandar Kuching Utara Abang Abdul Wahap Abang Julai. -- Bernama
Kerajaan GPS ada kesefahaman dengan Pusat - Abang Johari Kerajaan GPS ada kesefahaman dengan Pusat - Abang Johari Reviewed by Admin on January 05, 2019 Rating: 5

Masalah kekurangan minyak di Kapit diwarisi daripada BN - Chong

January 02, 2019

KUCHING: Masalah kekurangan petrol atau diesel yang dihadapi termasuk di Kapit antara pelbagai masalah yang ditinggalkan oleh kerajaan sebelumnya iaitu Barisan Nasional kepada kerajaan Pakatan Harapan.

Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna Chong Chieng Jen (gambar) berkata, buat masa ini terdapat hanya dua stesen minyak di Kapit iaitu, satu stesen adalah Petronas sementara satu lagi stesen minyak tidak berjenama.

"Sebelum ini, ramai yang memohon untuk membuka lebih banyak stesen petrol untuk kegunaan kepada rakyat sekitarnya.

"Namun permohonan tersebut telah ditolak dan dilengahkan oleh kerajaan sebelum ini dan akibat daripada itu penduduk di Kapit menghadapi masalah kekurangan petrol dan diesel selain menanggung harga yang lebih tinggi," katanya dalam satu kenyataan yang dikeluarkan di sini, hari ini.

Beliau berkata demikian mengulas mengenai tular di media sosial dimana ramai pengguna di Kapit mengalami masalah membeli minyak petrol dan diesel akibat selalu kehabisan stok minyak.

Buat masa ini di Kapit cuma ada dua stesen minyak dan ekoran daripada itu lalu lintas di Kapit menjadi sesak kerana individu dan kenderaan terpaksa beratur panjang mengunakan satu pam sahaja yang masih mempunyai bekalan atau stok.

Chong yang juga Pengerusi Pakatan Harapan (PH) Sarawak menjelaskan bagi penyelesaian jangka pendek masalah berkenaan, kementerian menghubungi syarikat minyak untuk mengambil tindakan segera bagi meningkatkan bekalan petrol dan diesel, yang dijangka akan kembali seperti biasa pada esok.

"Langkah sedemikian hanya untuk menyelesaikan masalah kekurangan semasa dan tidak akan berulang pada masa akan datang," katanya.

Beliau berkata sementara penyelesaian jangka panjang masalah dihadapi itu, kementeriannya telah berhubung dengan beberapa syarikat minyak bagi memudahkan pembukaan beberapa stesen minyak mini atau stesen minyak kontena mudah alih (portable container system-PCS) di pinggir bandar Kapit untuk memenuhi keperluan rakyat kawasan berkaitan.

Katanya penyelesaian yang dicadangkan termasuk syarikat minyak yang memindahkan operator tempatan, rundingan mengenai subsidi pengangkutan bagi petrol dan diesel serta kekangan undang-undang yang ditetapkan kerajaan negeri mengenai penubuhan stesen petrol mini.

"Kami berada di peringat akhir merumuskan dasar baharu ini dan saya yakin sebelum sambutan Hari Gawai tahun ini, rakyat Kapit akan menyaksikan sekurang-kurangnya dua stesen pam minyak PCS tambahan atau stesen petrol mini di kawasan sekitarnya.

"Jaminan saya kepada rakyat Sarawak, pada tahap kementerian saya, kami kini sedang meneliti beberapa dasar untuk diperbaiki dalam sistem penyampaian, terutama penghantaran serta susbidi barangan selain subsidi kepada rakyat di luar bandar," katanya. - UTUSAN BORNEO

Masalah kekurangan minyak di Kapit diwarisi daripada BN - Chong Masalah kekurangan minyak di Kapit diwarisi daripada BN - Chong Reviewed by Admin on January 02, 2019 Rating: 5
ads 728x90 B
Powered by Blogger.