PENGASAS Vida Beauty Sdn Bhd, Datuk Seri Dr Hasmizah Othman atau lebih dikenali sebagai Datuk Seri Vida, menafikan kemunculan beliau dalam rancangan "Terlajak Puteh, Nampak?" adalah untuk menunjuk-nunjuk kekayaan yang dimilikinya.
Dalam satu status yang dimuat naik ke akaun Instagramnya, beliau menjelaskan apa yang ditunjukkan itu sekadar memenuhi perjanjian dan permintaan penerbit rancangan tersebut yang mahu memaparkan kejayaan yang dicapainya.
Kata Vida, beliau memerah keringat selama 16 tahun sebelum memperoleh apa yang dikecapinya kini, dan niatnya hanya mahu memberi inspirasi kepada penonton.
"Saya tiada maksud untuk menunjuk-nunjuk atau nak riak... Saya perolehi semua ini dengan titisan keringat dan air mata," tulis Vida dalam status itu.
Tambah Vida lagi, tiada perkara yang boleh diperolehi dengan mudah, dan hidupnya sebelum ini pernah diuji dengan pelbagai dugaan.
Kemunculan Vida dalam rancangan yang diacarakan oleh Datuk Aznil Haji Nawawi itu baru-baru ini menimbulkan rasa kurang senang apabila ada yang membuat tanggapan beliau seolah-olah mahu 'menayangkan' kekayaannya.
Dalam perkembangan berasingan, Vida memberitahu Berita Harian beliau akan memperuntukkan jumlah penajaan sekitar RM16 juta untuk pasukan bola sepak Kelantan.
Sehingga kini, belum ada pengesahan rasmi tentang status penajaan itu dan semua keputusan akan dibuat selepas Presiden Bola Sepak Kelantan (KAFA) Tan Sri Annuar Musa pulang dari Tanah Suci. - AWANI
'Tayang' Kemewahan, Datuk Seri Vida Nafi Mahu Riak
Reviewed by uMieySurianie
on
January 07, 2016
Rating:
No comments: