GLASGOW: Pemain sensasi China, Lin Dan menyalakan peluangnya memburu kejuaraan keenam Kejohanan Dunia apabila bangkit daripada ketinggalan sebelum menewaskan pemain Denmark, Emil Holst 19-21, 21-8, 21-16 awal pagi tadi.
Aksi set ketiga berlangsung sengit dengan kedua-dua pemain terikat 16-16 sebelum Lin Dan terpaksa menggunakan pengalamannya untuk mengutip lima mata akhir sekali gus berjaya membalas dendam kekalahannya di Terbuka Denmark, awal tahun ini.
Lin Dan, 33, yang juga pilihan ketujuh mengakui lega selepas mara ke kelompok 16 terakhir selepas bertarung dalam aksi selama 81 minit itu.
"Saya sangat gembira kerana menang dan membuktikan kemampuan diri saya di Kejohanan Dunia," katanya
"Saya membuat persiapan rapi untuk perjalanan yang panjang minggu ini dan walaupun terpaksa berhempas pulas hari ini, saya bersedia menghadapi perlawanan esok."
Holst, yang juga pemain ke-39 dunia mengakui kecewa selepas terlepas peluang mencipta kejutan terbesar.
"Saya sangat kecewa," kata pemain berusia 26 tahun itu. "Saya mempunyai peluang menewaskannya, tetapi saya keletihan pada hujung permainan dan dia memaksa saya membuat kesilapan."
Dalam aksi paling lama setakat ini, Vincent Wong Wing Ki, yang juga pilihan ke-12 dari Hong Kong, terselamat daripada kebangkitan pemain Jepun, Kanta Tsuneyama.
Pemain Jepun itu mempunyai tiga peluang untuk menamatkan perlawanan tetapi gagal berbuat demikian sebelum tewas 23-21, 15-21, 24-26 dalam aksi maraton satu jam 24 minit.
Juara bertahan, Chen Long dan pemain pilihan Son Won Ho, kedua-duanya mudah mara ke pusingan 16.- Berita Harian
Holst Cemaskan Lin Dan
Reviewed by uMieySurianie
on
August 24, 2017
Rating:
No comments: