PUTRAJAYA, 20 Mac (Bernama) -- Seramai 13,970 calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) tahun lepas memperoleh gred A (Cemerlang) bagi semua mata pelajaran yang diduduki berbanding 13,720 calon pada 2012, iaitu peningkatan sebanyak 0.05 peratus.
Ketua Pengarah Pendidikan Datuk Dr Khair Mohamad Yusof berkata terdapat peningkatan jumlah calon yang mendapat semua A daripada sekolah Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) iaitu seramai 11,892 calon berbanding 11,648 calon tahun sebelumnya.
"Bagi calon bukan KPM yang memperoleh semua A adalah seramai 2,078 untuk semua mata pelajaran yang diduduki berbanding 2,072 calon pada 2012," katanya semasa mengumumkan Analisis Keputusan SPM 2013 di sini Khamis.
Daripada jumlah itu, Khair berkata seramai 405 calon iaitu 366 calon sekolah KPM dan selebihnya calon bukan KPM berjaya memperoleh gred A+ (Cemerlang Tertinggi) bagi semua mata pelajaran yang diduduki.
Beliau berkata jumlah keseluruhan calon yang menduduki SPM tahun lepas adalah seramai 442,588.-- BERNAMA

No comments: