Seo Services

Perompak Mufti Perlis dipenjara 14 tahun

KUCHING: Mahkamah Sesyen semalam menjatuhkan hukuman penjara 14 tahun dan 13 sebatan ke atas seorang penjual ikan atas kesalahan merompak Mufti Perlis Datuk Dr Juanda Jaya di Taman Carisa, Petra Jaya, tahun lepas.

Mohd Shariman Alwi, 30, bapa kepada dua anak didapati bersalah melakukan jenayah itu bersama seorang lagi suspek yang masih bebas.

Menurut fakta kes, perompak melarikan barang kemas bernilai RM35,000, wang tunai RM6,500 dan beberapa gajet elektronik termasuk dua telefon bimbit jenama Samsung, sebuah Samsung Tab bernilai RM5,000 dalam kejadian pada jam 4.30 pagi, 16 Ogos 2013.

Pada ketika itu, dua lelaki bersenjatakan pedang memecah masuk rumah mangsa menerusi pintu belakang berjeriji.

Juanda bersama isteri dan pembantu rumah mereka telah diikat oleh perompak.

Menurut kenyataan impak mangsa dibuat isteri Juanda, beliau masih trauma selepas kejadian itu dan takut keluar rumah, tidak dapat tidur lena dan fobia setiap kali mendengar bunyi bising di pintu.

Pembantu rumah mereka juga dalam keadaan trauma kerana dihentak oleh perompak menggunakan pemegang pedang selain kehilangan beberapa batang gigi selepas dipukul di mulut.

Semalam Hakim Nixon Kennedy Kumbong memutuskan peguam bela Mohd Shariman gagal menimbulkan keraguan munasabah mengenai kes pendakwaan dan menyabit kesalahan ke atas tertuduh di bawah Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman maksimum penjara 20 tahun dan sebatan.

Nixon mengarahkan hukuman penjara berkuat kuasa selepas Mohd Shariman menghabiskan tempoh penjara sebelum ini.

Ketika ini dia menjalani hukuman penjara tujuh tahun dan lima sebatan selepas disabit kesalahan berdasarkan pengakuan sendiri melakukan ragut pada 10 Oktober 2013.

Ini bermakna Mohd Shariman akan dipenjara selama 21 tahun dan menerima 18 sebatan pada keseluruhan.

Pendakwa Raya Nur Nisla Abd Latif yang melakukan pendakwaan meminta mahkamah menjatuhkan hukuman berat ke atas tertuduh kerana kesalahan dilakukan sebagai pengajaran.Menurutnya tertuduh telah menggunakan kekerasan dan mencedera mangsa.

Peguam bela Abdul Rahman Mohd Hazmi mewakili tertuduh.Isteri tertuduh menangis selepas mendengar keputusan mahkamah, ibu bapa tertuduh juga hadir di mahkamah.- Borneo Post

Perompak Mufti Perlis dipenjara 14 tahun Perompak Mufti Perlis dipenjara 14 tahun Reviewed by Admin on March 06, 2014 Rating: 5

No comments:

ads 728x90 B
Powered by Blogger.