KUALA LUMPUR – Parti Progresif Penduduk (PPP) hari ini membuat laporan polis terhadap Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim kerana didakwa menuduh Malaysia menyembunyikan fakta berhubung kehilangan pesawat Malaysia Airlines (MAS) Penerbangan MH370.
Pengerusi PPP Datuk A.Chandrakumanan membuat laporan itu di Ibu Pejabat Polis Daerah Sentul. Beliau diiringi ke balai polis itu oleh 30 penyokong parti.
Chandrakumanan mengggesa polis dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) menjalankan siasatan dan mengambil tindakan tegas ke atas Anwar.
Beliau mendakwa Anwar membuat kenyataan itu pada 22 Mac sebelum pilihan raya kecil Dewan Undangan Negeri Kajang dalam media sosial termasuk laman blog, facebook dan twitternya yang mendakwa kononnya kerajaan Malaysia menyembunyikan kebenaran mengenai siasatan MH370.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Sentul ACP Zakaria Pagan ketika dihubungi Bernama mengesahkan menerima laporan Chandrakumanan.
Zakaria berkata, laporan itu akan diserahkan kepada Ibu Pejabat Polis Daerah Sepang kerana laporan awal mengenai isu sama telah diterima sebelum ini – BERNAMA

No comments: