HANOI, 4 April (Bernama) -- Malaysia mengucapkan terima kasih kepada kerajaan Vietnam di atas sokongan dan bantuannya semasa peringkat awal usaha mencari pesawat Malaysia Airlines (MAS) Penerbangan MH370 yang hilang.
Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak berkata Vietnam bersungguh-sungguh membantu Malaysia dengan menggerakkan asetnya dan berkongsi maklumat mengenai kehilangan pesawat itu.
"Malaysia tidak akan berhenti berusaha untuk mengesan pesawat itu dan kami berterima kasih di atas bantuan yang diberi oleh rakan-rakan kami," katanya dalam sidang akhbar bersama selepas mengadakan mesyuarat dua hala selama sejam dengan rakan sejawatannya, Nguyen Tan Dung di sini, Jumaat.
Najib, yang tiba di sini dari Perth, Australia semalam adalah dalam rangka lawatan tiga hari ke Vietnam. Ini adalah lawatan rasmi pertama beliau ke negara ini sejak menjadi perdana menteri pada 2009.
Pesawat MH370, yang membawa 239 orang ke Beijing, hilang daripada radar pada 8 Mac ketika terbang di ruang udara Laut China Selatan antara Malaysia dan Vietnam, kira-kira sejam setelah berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa KL.
Pada 24 Mac, Najib mengumumkan laluan penerbangan pesawat itu berakhir di satu kawasan terpencil di selatan Lautan Hindi berdasarkan analisis terperinci data satelit.
Dalam sidang akhbar sama, Dung menyampaikan ucapan simpati dan perasaan sedih yang amat mendalam beliau kepada kerajaan dan rakyat Malaysia serta keluarga penumpang dan anak kapal pesawat yang hilang itu.
Mengenai mesyuarat dua hala itu, Najib berkata ia merupakan perbincangan yang amat konstruktif dan berhasil serta memberi peluang kepada mereka untuk saling bertukar pendapat mengenai isu penting dua hala dan perkembangan antarabangsa yang penting buat Malaysia dan Vietnam.
Perbincangan itu bertumpu pada kerjasama erat dua hala yang sedang berterusan dan usaha mengeratkan lagi hubungan sedia ada antara kedua-dua negara dalam bidang perdagangan dan pelaburan, pertanian, pelancongan, pertahanan dan keselamatan serta pendidikan.
Najib berkata Malaysia dan Vietnam sependapat bahawa masanya sudah tiba bagi kedua-dua negara membawa hubungan baik sedia ada ke peringkat yang lebih strategik.
"Dalam hal ini, kami bersetuju untuk menugaskan menteri luar masing-masing menubuhkan sebuah suruhanjaya bersama bagi menyediakan asas dan kandungan yang akan menjadi landasan bagi hubungan baharu itu," katanya.
Najib berkata Malaysia dan Vietnam juga bersetuju untuk meneroka lebih banyak peluang bagi meningkatkan nilai dan jumlaah dagangan serta pelaburan antara kedua-dua negara.
Antara 2010 dan 2013, jumlah dagangan Malaysia dan Vietnam meningkat 67 peratus dan kedua-dua negara menyasarkan jumlah dagangan mencapai AS$11 bilion pada 2015 daripada AS$9 bilion sekarang.
"Pagi esok, saya akan mempengerusikan mesyuarat dengan komuniti perniagaan Malaysia dan saya akan menggalakkan mereka mengkaji untuk menambah jumlah pelaburan Malaysia di Vietnam," katanya.
Terdahulu, Najib dan Dung menyaksikan majlis memandatangani memorandum persefahaman (MoU) yang bertujuan meningkatkan kerjasama antara kedua-dua negara dalam bidang pertanian.
Malaysia diwakili Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob manakala Vietnam oleh Menteri Pertanian dan Pembangunan Luar Bandar Cao Duc Phat.
Turut hadir Menteri Luar Datuk Seri Anifah Aman, Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Datuk Seri Mustapa Mohamed dan menteri-menteri Kabinet Vietnam.
-- BERNAMA
Tragedi MH370: Malaysia Ucap Terima Kasih Kepada Vietnam Kerana Beri Bantuan Segera
Reviewed by Admin
on
April 04, 2014
Rating:

No comments: