SERIAN - Inisiatif Baharu Tanah Hak Adat Bumiputera (NCR) berjaya menyukat dan mewartakan sebanyak 15 kawasan seluas kira-kira 6,000 hektar di Samarahan dekat sini mengikut Seksyen 6 Kanun Tanah Negeri.
Penguasa Tanah dan Survei Bahagian Samarahan, Rozlan Putit berkata, tiga daripada 15 kawasan tersebut melibatkan 13 kampung merangkumi komuniti Bidayuh, Iban dan Melayu yang telah menerima surat warta masing-masing.
"Kerajaan telah pun memasuki fasa kedua modus operandi Inisiatif Baharu Tanah Hak Adat Bumiputera yang mana tiga kawasan di Samarahan telah dilulus untuk disukat secara individu bagi mendapat surat hak milik di bawah Seksyen 18 Kanun Tanah negeri.
"Selain itu, kerajaan masih meneruskan usaha menyukat dan mewartakan tanah NCR di Samarahan termasuk 10 kawasan di daerah ini melibatkan keluasan 61,260 hektar yang diluluskan baru-baru ini," katanya.
Beliau berucap dalam Majlis Penyampaian Warta Rizab Gunasama (Pertanian) Bumiputera, Bahagian Samarahan oleh Menteri Pembangunan Infrastruktur dan Perhubungan negeri, Datuk Seri Michael Manyin Jawong di sini baru-baru ini.
Rozlan berkata, pasukan ukur Jabatan Tanah dan Survei akan memulakan kerja pengukuran mulai Julai ini.
Katanya, usaha tersebut menunjukkan kerajaan amat mengambil berat terhadap tanah NCR bagi memastikan penuntut tanah itu mempunyai jaminan keselamatan ke atas tanah yang telah diwarta.
"Pemilik tanah akan mendapat jaminan mutlak apabila tanah itu disukat secara individu dan dikeluarkan surat hak milik," jelasnya.
15 kawasan tanah di Samarahan telah disukat
Reviewed by Unknown
on
June 13, 2014
Rating:
No comments: