Seo Services

Berat Muhammad Firdaus naik 2kg

Rohani melihat keadaan remaja orang kurang upaya (OKU) Mohammad Firdaus Dullah, 15, ketika melawat remaja itu di wad kanak-kanak Hospital Tuanku Jaafar Seremban (HTJS) di sini hari ini. - Foto Bernama

SEREMBAN - Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) akan menempatkan remaja orang kurang upaya (OKU), Muhammad Firdaus Dullah, 15, di institusi kanak-kanak JKM melalui perintah sementara daripada mahkamah sebaik dia sihat dan pulih serta dibenarkan keluar Hospital Tuanku Jaafar Seremban (HTJS). 

Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Datuk Seri Rohani Abdul Karim berkata, langkah ini bagi memastikan dia dijaga dengan baik, diberi perlindungan dan juga pemulihan.

"Sebagai seorang OKU, kita akan memberikan segala bantuan dan kemudahan yang diperlukannya. Dia akan kita tempatkan di institusi kami yang bersesuaian dengan keadaannya.

"Kami juga akan memberikan kaunseling sebab emosinya belum lagi stabil," katanya kepada pemberita selepas melawat Muhammad Firdaus di HTJS di sini, hari ini.

Muhammad Firdaus ditemui dalam keadaan kurus kering dalam bilik yang kotor dan dipenuhi najis oleh anggota Jabatan Imigresen Negeri Sembilan dalam operasi bersepadu 6P di rumah pangsa Taman Semarak, Nilai, Sabtu lalu selepas melakukan pemeriksaan di rumah berkenaan.

Rohani berkata selain itu, JKM juga akan menjejaki waris remaja OKU itu, selain daripada ibunya. "Ini disebabkan, walaupun dia akan berada dalam institusi kami, saya tidak mahu hubungan kekeluargaan terputus.

Keluarga mesti bersama-sama bertanggungjawab untuk memastikan Muhammad Firdaus mendapat sepenuh kasih sayang," katanya. Ditanya berapa lama Muhammad Firdaus akan berada di hospital, beliau berkata, melihat daripada keadaannya, dia dijangka dibenarkan keluar daripada hospital dalam tempoh sebulan atau lebih.

Katanya Muhammad Firdaus kini didapati bertambah sihat dan selera makannya pun bertambah. "Dalam masa tiga hari, berat badannya telah bertambah dua kilogram.

Dia memberi tindak balas yang baik terhadap segala rawatan yang diberikan kepadanya. Dia nampak gembira dan hendak makan sahaja, yang penting dia bertambah kuat, malah dia bangun sendiri.

Sebagai OKU 'cerebral palsy' keadaan ini adalah normal," katanya. Beliau yakin remaja yang ditemui dalam keadaan menyedihkan Sabtu lalu akan pulih dengan lebih cepat.

Sementara itu, Rohani mengesahkan bapa Muhammad Firdaus iaitu Dullah Sibil, sudah meninggal dunia ketika berumur 51 tahun di Sabah pada 22 Januari 2012.

Mengenai ibu Muhammad Firdaus, Rohani berkata, ibunya masih ditahan reman polis dan kertas siasatan dibuka mengikut Akta Kanak-Kanak 2001.- Bernama
Berat Muhammad Firdaus naik 2kg Berat Muhammad Firdaus naik 2kg Reviewed by Unknown on June 24, 2014 Rating: 5

No comments:

ads 728x90 B
Powered by Blogger.