Seo Services

Fenomena El Nino Tidak Jejas Persiapan Atlet Negara Hadapi Sukan Komanwel


KUALA LUMPUR:  Fenomena El Nino iaitu cuaca panas kering yang dijangka turut melanda negara tidak memberi kesan ketara kepada persiapan kontinjen negara untuk menghadapi Sukan Komanwel 2014 di Glasgow, Scotland yang bermula 23 Julai.

Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin berkata atlet negara sudah biasa menghadapi keadaan sedemikian dan yakin mereka dapat mempamerkan prestasi cemerlang pada temasya berkenaan.

"Ini merupakan perkara biasa di Malaysia dan ini bukan pertama kali kita berdepan dengan keadaan sedemikian. Semua perkara ini (cuaca panas kering) telah diambil kira oleh Majlis Sukan Negara (MSN) dan Institut Sukan Negara (ISN)," katanya.

Khairy berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas melancarkan Fiesta Samba Brasil sempena kejohanan Bola Sepak Piala Dunia 2014, di Dataran Merdeka di sini awal hari ini.

Beliau berkata MSN dan ISN sentiasa memantau keadaan cuaca yang sedang melanda negara ketika ini, sambil tidak menolak kemungkinan untuk meminta persatuan sukan kebangsaan bagi melakukan perubahan dalam jadual latihan atlet masing-masing sekiranya keadaan cuaca tidak mengizinkan.

"Setakat ini tiada perubahan jadual terutamanya persiapan atlet-atlet kita. Sekiranya cuaca tidak mengizinkan, kita akan buat beberapa penyesuaian bukan hanya disebabkan fenomena El Nino, tetapi juga disebabkan kehadiran bulan Ramadan yang dijangka turut akan memberi kesan kepada atlet negara," kata Khairy.

Mei lepas, Pejabat Kaji Cuaca United Kingdom meramalkan kemungkinan besar fenomena El Nino akan melanda rantau Asia Tenggara pada pertengahan tahun ini.

Dalam pada itu, Khairy berkata penganjuran fiesta berkenaan bukan sahaja memberikan peluang kepada golongan belia untuk melihat perlawanan bola sepak Piala Dunia secara lebih santai tetapi dapat mengelakkan mereka daripada terlibat dengan aktiviti tidak berfaedah.

Katanya fiesta berkenaan diadakan di setiap negeri kecuali Perak yang masih berkabung di atas kemangkatan Sultan Perak, Almarhum Sultan Azlan Shah pada 28 Mei lepas.

"Saya lihat sambutan (awal pagi ini) di Dataran Merdeka walaupun notis yang singkat tetapi begitu baik. Kita buat fiesta ini untuk menghidupkan suasana Piala Dunia dan saya melihat ini antara perkara sihat untuk kita mendekatkan diri dengan anak-anak muda," katanya.

Khairy turut meminta golongan belia yang bekerja supaya mengekalkan produktiviti di tempat kerja masing-masing walaupun demam Piala Dunia turut melanda negara.

Pada majlis tersebut, beliau menyertai hampir 1,000 golongan belia menyaksikan perlawanan pembukaan Piala Dunia 2014 antara Brazil dan Croatia menerusi skrin gergasi yang dipasang di hadapan bangunan Sultan Abdul Samad.

Perlawanan yang berlangsung di Arena Corinthians, Sao Paulo dimenangi oleh Brazil dengan keputusan 3-1. 

Pelbagai aktiviti menarik turut diadakan pada fiesta berkenaan yang bermula hari ini sehingga 14 Julai, antaranya pameran dan jualan cenderahati pasukan Piala Dunia, acara bola sepak, tenis dan takraw serta pertandingan menimbang bola.- BERNAMA
Fenomena El Nino Tidak Jejas Persiapan Atlet Negara Hadapi Sukan Komanwel Fenomena El Nino Tidak Jejas Persiapan Atlet Negara Hadapi Sukan Komanwel Reviewed by Unknown on June 13, 2014 Rating: 5

No comments:

ads 728x90 B
Powered by Blogger.