Seo Services

Kemudahan Perubatan Moden Kuching Tarik Pelawat Dari Pontianak

PONTIANAK (Indonesia), 15 Jun (Bernama) -- Kemudahan perubatan moden yang ditawarkan pusat perubatan swasta adalah antara faktor yang menarik pelawat dari Pontianak mendapatkan rawatan di Kuching.

Ketua Persatuan Ejen-ejen Pelancongan dan Pengembaraan Indonesia (Asita) Kalimantan Barat, Hefni As berkata ini ditambah dengan penerbangan terus dari Pontianak ke Kuching.

"Anda dapat lihat setiap hari ada sahaja pesakit yang naik pesawat untuk ke Kuching mendapatkan rawatan.

Saya kira harga ubat di sana lebih murah, doktor mempunyai ilmu tinggi dan pusat perubatan mempunyai peralatan canggih," katanya ketika ditemui Bernama pada Program 1Malaysia Megasale 2014, di sini hari ini.

Hefni berkata isterinya antara yang mendapatkan rawatan di Kuching.

"Analisis doktor di sana juga tepat, dan jika perlu dilakukan pembedahan mereka boleh terus saja buat, tidak perlu tunggu-tunggu lagi," katanya.

Hefni berkata selain itu peluang pendidikan bertaraf antarabangsa yang ditawarkan oleh institusi pengajian tinggi awam dan swasta turut menarik pelajar dari Pontianak untuk melanjutkan pelajaran di Kuching.

"Pelajar yang melanjutkan pelajaran di Kuching dipandang tinggi di sini. Selain itu pembelajaran dalam bahasa Inggeris yang dijalankan di institusi pendidikan di sana secara tidak langsung akan membantu memperbaiki pertuturan bahasa Inggeris pelajar-pelajar ini.

"Saya boleh katakan siapa belajar di Kuching, pasti pandai berbahasa Inggeris," katanya sambil tersenyum.

Beliau berkata kerjasama antara institusi pengajian tinggi swasta dan beberapa universiti di Australia dan Amerika Syarikat juga menjadi antara faktor yang menarik pelajar-pelajar dari Pontianak melanjutkan pelajaran di Kuching.

"Kalau pelajar-pelajar ini pintar, mereka boleh pula sambung pelajaran ke Australia, Amerika Syarikat atau mana-mana negara lain," katanya.

Menurut Hefni, pada masa yang sama pelbagai destinasi menarik yang ada di Sarawak turut menggamit penduduk Pontianak berkunjung ke negeri itu terutama ke Kuching.

Hefni menyimpulkan kerjasama erat yang dijalinkan antara Asita dan Tourism Malaysia serta Lembaga Pelancongan Sarawak telah membantu meningkatkan jumlah pelawat dari Pontianak ke Kuching.

"Apa yang boleh saya katakan Sarawak telah menjalankan promosi 'sangat luar biasa' di sini," katanya.-- BERNAMA

Kemudahan Perubatan Moden Kuching Tarik Pelawat Dari Pontianak Kemudahan Perubatan Moden Kuching Tarik Pelawat Dari Pontianak Reviewed by Admin on June 15, 2014 Rating: 5

No comments:

ads 728x90 B
Powered by Blogger.