Seo Services

Penjaja Jalan Gambier 'kerugian' selepas dipindahkan ke Stutong

KUCHING: Tindakan kerajaan memindahkan penjaja Jalan Gambier ke Pasar Komuniti Stutong di sini tidak memberi sebarang impak positif atau kesan yang lebih baik.

Malah beberapa penjaja dikatakan mengalami kerugian kerana tidak mendapat sambutan pelanggan seperti ketika mereka berniaga di tapak penjaja lama, kata Pembantu Khas Pengerusi DAP Sarawak Chong Chien Jen, Abdul Aziz Isa.

Beliau yang menerima aduan beberapa penjaja di tempat terbabit mengambil keputusan untuk turun padang dan melihat sendiri keadaan ‘sunyi sepi’ yang dimaksudkan penjaja berkenaan.

“Lawatan saya ke Pasar Komuniti Stutong kelmarin begitu mengejutkan kerana hanya seorang dua sahaja yang menjamu selera di situ.

“Keadaan ‘sunyi sepi’ seperti yang dilaporkan ternyata benar dan keadaan sedemikian sekali gus memberi gambaran jelas kepada saya bahawa penjaja di situ tidak mendapat sambutan sejak mereka dipindahkan,” katanya kepada Utusan Borneo, semalam.

Tambahnya, bukan itu sahaja, ada juga kalangan penjaja telah gulung tikar kerana tidak tahan dengan kerugian yang dialami sejak mereka dipindahkan ke tapak penjaja yang baharu.

Alasan pembangunan yang diberikan kerajaan ketika memindahkan mereka (penjaja) jelas menjadi alasan yang tidak kukuh, ujarnya.

“Perniagaan penjaja jatuh sebanyak 80 peratus sejak dipindahkan dan ramai antara mereka turut gulung tikar akibat terlalu banyak kerugian yang dialami.

“Sepatutnya, kerajaan memperbaiki kawasan perniagaan yang lama kerana ia menjadi tapak kegemaran penjaja berniaga di kawasan bandar Kuching dan bukannya memindahkan mereka ke kawasan pinggir bandar,” jelasnya.

Beliau memberitahu, perkara ini pernah dilaporkan kepada pihak berkuasa namun ia tidak diendahkan sehingga kini.

Selain itu, Aziz berkata situasi seumpama itu juga dihadapi penjaja Benteng Satok yang turut mengalami kerugian selepas dipindahkan ke Medan Niaga Satok yang baharu.

“Diharapkan pihak berkenaan dapat bertindak dengan segera sebelum mereka mengalami lebih banyak kerugian,” jelasnya. - Utusan Borneo

Penjaja Jalan Gambier 'kerugian' selepas dipindahkan ke Stutong Penjaja Jalan Gambier 'kerugian' selepas dipindahkan ke Stutong Reviewed by Admin on June 15, 2014 Rating: 5

No comments:

ads 728x90 B
Powered by Blogger.