KUCHING - Statistik Majlis Tindakan Membanteras Dadah (MTMD) menunjukkan Sarawak merupakan negeri kedua paling rendah mencatatkan kes penyalahgunaan dadah sejak Januari 2011 sehingga April lalu iaitu seramai 1,749 orang.
Pengarah Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) negeri, Wan Madihi Wan Salleh berkata, daripada jumlah itu, seramai 1,653 penagih baharu manakala 96 orang lagi penagih berulang.
Beliau memberitahu, kebanyakan penyalahgunaan dadah di negeri ini melibatkan golongan belia berusia 18 hingga 40 tahun dan menggunakan dadah jenis murah seperti syabu, nospan dan ganja.
"Walau bagaimanapun, saringan ujian air kencing yang dijalankan di 178 buah sekolah menengah di seluruh negeri ini, mendapati kira-kira 1,000 pelajar positif pelbagai jenis dadah.
"Kami memperoleh saringan tersebut selepas mengadakan operasi mengejut di sekolah-sekolah yang terpilih sebagai langkah memperhebatkan kempen pendidikan secara berterusan bagi membanteras kegiatan penyalahgunaan dadah di Sarawak," katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar bagi mengumumkan sambutan Hari Anti Dadah Antarabangsa 2014 di pejabat baharunya di Bangunan Baitulmal lama, di sini hari ini.
Yang turut hadir, Timbalan Pengarah AADK negeri, Kartina Ujin.
Sambutan Hari Anti Dadah Antarabangsa yang diraikan esok itu telah ditetapkan sebagai tarikh Hari Penyalahgunaan dan Pengedaran Dadah Antarabangsa oleh Perhimpunan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) sejak 1987.
Mengulas lanjut, Wan Madihi berkata, pihaknya akan bekerjasama dengan polis dan agensi lain bagi memantau serta memberi tumpuan terhadap dua lokasi panas masalah dadah yang dikenal pasti di bandar raya ini iaitu Samariang dan Tabuan.
Katanya, dua lokasi itu juga didapati terdapat ramai bilangan orang kena pengawasan (OKP) selain aduan daripada orang ramai mengenai kegiatan jenayah dadah.
"Dalam masa sama, kami turut menyasarkan untuk menubuhkan enam buah AADK daerah di Betong, Kota Samarahan, Sarikei, Sri Aman, Limbang dan Kapit bagi memerangi gelaja tidak sihat itu.
"Meskipun jumlah penguat kuasa AADK Sarawak hanya seramai 121 orang namun ia bukan alasan untuk kami menyusun pelbagai program termasuk mengadakan operasi mengejut di sekolah dan jalan raya serta memantau secara berterusan bagi mengelak masalah berkaitan dadah menular," katanya.
Sarawak negeri kedua paling rendah kes penyalahgunaan dadah
Reviewed by Unknown
on
June 26, 2014
Rating:

No comments: