KUCHING: Kepelbagaian Sarawak perlu mendapat pengiktirafan lebih baik selepas lebih 50 tahun bersatu dengan Malaysia, kata Ketua Menteri Tan Sri Adenan Satem.
Beliau berkata sementara rakyat Sarawak tidak pernah lupa pembentukan Malaysia telah menyelamatkan negeri ini daripada cengkaman komunisme dan ancaman lain, keputusannya untuk menjadi sebahagian daripada persekutuan datang bersama keistimewaan khas dan pertimbangan melebihi negeri lain di Semenanjung.
"Kita kini mencari kesatuan yang lebih sempurna. Kita mahu mencari perpaduan dalam kepelbagaian," katanya pada majlis menandakan 51 tahun kedaulatan Sarawak selepas British secara rasmi menyerahkan pentadbiran negeri kepada rakyat Sarawak.
Beliau berkata menjadi sebagai persekutuan, Malaysia tidak boleh mengelak pergeseran dan salah faham antara rakan pengasasnya tetapi semua masalah dapat diselesaikan dengan baik.
"Kita mempunyai perbezaan tetapi kita boleh menyelesaikannya dengan kerajaan persekutuan sejak beberapa tahun," katanya.
Adenan menyeru rakyat Malaysia untuk bersatu padu di bawah pimpinan negara dalam menghadapi dua bencana - kehilangan pesawat MH370 dan MH17.
Ini bukan masa untuk saling tuduh menuduh. "Ia bukan masa untuk mempolitik tragedi negara. Ia masa untuk berdiri di belakang pemimpin kita untuk mendapat keadilan bagi rakyat kita," tambahnya.
Semasa majlis itu, Yang Dipertua Negeri Tun Abdul Taib Mahmud melancarkan buku bergambar 'Colours of Harmony and Prosperity' yang memuatkan aktiviti sempena 50 tahun kemerdekaan Sarawak.- BERNAMA
Adenan Satem Mahu Kepelbagaian Sarawak Diiktiraf
Reviewed by Unknown
on
July 23, 2014
Rating:
No comments: