KUCHING - Jabatan Kerja Raya (JKR) merancang untuk membina saluran paip dari Batu 9 hingga Siburan bagi mengatasi masalah air yang sering berlaku di tiga penempatan di sini.
Jurutera Jabatan Kerja Raya (JKR) Bahagian Kuching, Awang Mohammad Fadillah Awang Redzuan berkata, tiga penempatan tersebut adalah Siburan, Tapah dan Beratok yang mempunyai kapasiti penduduk sebanyak 100,000 orang.
Katanya, gangguan air di kawasan tersebut semakin buruk apabila tiba musim kemarau sehingga menjejaskan aktiviti harian penduduk yang tinggal di kawasan tanah tinggi.
"Walau bagaimanapun, JKR belum dapat memulakan projek ini kerana masih menunggu peruntukan daripada Kerajaan Persekutuan namun rekaan saluran paip itu telah siap dan diluluskan kerajaan negeri.
"Apabila peruntukan itu telah diterima, JKR akan melaksanakan projek tersebut di bawah Rancangan Malaysia Ke-10 (RMK-10)," katanya di sini semalam.
Ketika ini JKR telah menyalurkan air di tiga penempatan tersebut sebanyak 14 juta liter padu air sehari namun bilangan penduduk di situ semakin bertambah dan memerlukan sehingga 16 juta liter padu sehari.
Tambah Awang Mohammad Fadillah, JKR juga merancang menyalurkan air dari stesen penggalak di Padawan ke Siburan iaitu di kawasan takungan air tambahan Batu 7 dan Batu 9.
"Bagi mengurangkan bebanan penduduk di tiga penempatan tersebut, JKR akan menghantar bekalan tangki air di kawasan yang terjejas tetapi mereka perlu menghubungi kami terlebih dahulu.
"Selain itu, kami juga sedang berusaha mendapatkan bekalan air dari kawasan Serian untuk disalurkan ke pekan Tapah buat masa ini," katanya.
JKR akan bina saluran paip dari Batu 9 hingga Siburan
Reviewed by Unknown
on
July 09, 2014
Rating:
Reviewed by Unknown
on
July 09, 2014
Rating:

No comments: