Seo Services

Kerjasama daripada masyarakat diperlukan bendung kes buang bayi


KUCHING - Remaja yang hamil luar nikah diminta supaya jangan mengambil jalan pintas membuang bayi yang dilahirkan bagi menutup malu tetapi menyerahkan anak berkenaan ke tempat khas yang disediakan oleh kerajaan.

Menteri Kebajikan Wanita dan Pembangunan Keluarga negeri, Datuk Fatimah Abdullah berkata, isu pembuangan bayi bukanlah perkara baharu tetapi sudah menjadi umpama ‘mimpi buruk’ yang bermusim bagi masyarakat termasuk di Sarawak.

Beliau berkata, punca kes tersebut berlaku adalah disebabkan beberapa faktor merangkumi desakan hidup, hilang pertimbangan diri atau takut dicemuh oleh ahli keluarga yang lain.

"Oleh itu, ibu bapa atau remaja kepada bayi luar nikah diingatkan supaya tidak membuang anak mereka kerana kerajaan ada menyediakan pelbagai tempat perlindungan bagi menempatkan bayi terbabit dengan selamat.

"Mereka boleh menempatkan bayi ini di Taman Seri Puteri Kuching (TSPK), Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), rumah perlindungan dan hospital," katanya.

Menurut Fatimah, ibu bapa yang mempunyai masalah untuk menjaga anak luar nikah boleh berhubung terus dengan pihak JKM atau mendapatkan khidmat nasihat serta rujukan daripada pertubuhan bukan kerajaan (NGO) atau mana-mana badan khidmat lain.

Katanya, TSPK di bawah seliaan JKM serta Kementerian Kebajikan Wanita dan Pembangunan Keluarga misalnya menawarkan pusat perlindungan bagi wanita yang mengandung luar nikah berusia kurang daripada 18 tahun dan 18 tahun ke atas.

Tambahnya, masyarakat juga perlu mengambil pengajaran daripada kes-kes yang berlaku dengan meningkatkan pengawasan terhadap anak remaja, di samping memberikan didikan agama atau pendekatan psikologi yang berkesan dalam mendidik mereka.

"Tanggungjawab membendung gejala membuang bayi harus dipikul bersama oleh masyarakat dan bukannya diletakkan di atas bahu kerajaan sahaja.

"Masyarakat juga harus sedar, isu buang bayi ini bukan kesalahan si ibu semata-mata. Tanpa wujudnya kaum lelaki, isu ini tidak akan timbul," ujarnya.


Kerjasama daripada masyarakat diperlukan bendung kes buang bayi Kerjasama daripada masyarakat diperlukan bendung kes buang bayi Reviewed by Unknown on July 11, 2014 Rating: 5

No comments:

ads 728x90 B
Powered by Blogger.