Seo Services

Serangan Tanpa Henti Masing Menyakitkan Hati Pemimpin Teras

KUCHING, 2 Julai (Bernama)-- Tindakan presiden Parti Rakyat Sarawak (PRS) Tan Sri Dr James Jemut Masing yang tidak henti-henti menyerang Parti Tenaga Rakyat Sarawak (Teras) menimbulkan perasaan sakit hati para pemimpin parti itu.

Seorang daripada mereka yang enggan dikenali berkata Masing sebenarnya bersekongkol dengan pihak yang kalah dan jika beliau terus membuat desakan, beliau sendiri yang akan menerima tekanannya.

Menurut beliau Masing hanya berminat dengan kerusi Pelagus apabila Lagong (Anggota Dewan Undangan Negeri Pelagus George Lagong) dinasihati supaya tidak menyertai Teras, tetapi terus mesra dengan BN.

Pemimpin itu berkata masalah sebenar, yang melanda Barisan Nasional (BN) negeri mempunyai kaitan dengan kepimpinan Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP) dan Parti Demokratik Progresif Sarawak (SPDP), termasuk masalah yang dihadapi SUPP untuk mengadakan persidangan perwakilan tiga tahun sekalinya (TDC).

"Ada masa setahun lagi bagi BN Campur ini menguatkan kedudukannya...kami yakin dapat membantu menstabilkan BN dan menjadi parti alternatif kepada SPDP dan SUPP," katanya.

Malah, kini mereka (dalam Teras) membantu menstabilkan BN dengan kekal bersama parti gabungan itu, katanya.

"Bagaimanapun, Masing tidak sedar akibat daripada gesaan yang dibuatnya. Dengan menggesa kami supaya melepaskan kerusi masing-masing, kekecohan boleh berlaku.

Bayangkanlah jika kami semua meletak jawatan sebelum 20 Jun, sembilan pilihan raya kecil perlu diadakan," katanya.

Beliau berkata strateginya sekarang ialah meminggirkan Bumiputera daripada SUPP, mengukuhkan kedudukan semua wakil rakyat (anggota parlimen dan dewan undangan negeri) dan menguatkan cengkaman.

Menurut pemimpin Teras itu, Masing percaya dengan berbuat begitu, mereka akan dapat membawa kembali masyarakat Cina kepada BN.

Kini, Teras hanya mempunyai sembilan daripada 11 wakil rakyat berbanding sebelum ini apabila Anggota Parlimen Baram Anyie Ngau mengisytiharkan kekal bersama SPDP, manakala parti baharu itu terpaksa mengetepikan Lagong daripada barisan kepimpinannya.

Alasan yang diberi tentang peminggiran Lagong ialah kecondongan politik beliau sebelum ini, bukan kerana tekanan daripada PRS, sebuah parti komponen BN.

Pengumuman pemimpin Teras Datuk Peter Nansian Ngusie baru-baru ini bagaimanapun tidak menyekat Masing daripada terus menyerang parti itu.

Barisan kepimpinan Teras akan diumumkan pada perhimpunan agung tiga tahun sekalinya (TGA), yang dijadualkan berlangsung pada 26 Julai.

Baru-baru ini, PRS, SUPP dan SPDP mengisytiharkan kata sepakat mereka untuk mempertahankan kerusi BN negeri yang diperuntukkan kepada mereka daripada diambil Teras melalui wakil rakyat yang melepaskan jawatan dalam parti masing-masing untuk menyertai parti baharu.

Masing berkata tiga parti itu sepakat untuk terus mempertahankan kesemua 36 kerusi - PRS (sembilan), SPDP (lapan) dan SUPP (19) - yang diperuntukkan kepada mereka melalui perjanjian perkongsian kuasa BN negeri.

Katanya pendirian bersama mereka terhadap Teras dan peruntukan kerusi itu akan disampaikan kepada kepimpinan tertinggi BN pada mesyuarat Dewan Tertinggi BN akan datang.

Anggota Majlis Tertinggi Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) Datuk Abdul Karim Rahman Hamzah berkata beliau terperanjat apabila mendapati PRS, SUPP dan SPDP menggelabah tentang kerusi negeri ketika ini, walaupun pilihan raya negeri masih jauh lagi.

Beliau juga hairan dengan tindakan tiga parti komponen BN itu yang terus menyuarakan perasaan tidak puas hati mereka melalui akhbar.-- BERNAMA

Serangan Tanpa Henti Masing Menyakitkan Hati Pemimpin Teras Serangan Tanpa Henti Masing Menyakitkan Hati Pemimpin Teras Reviewed by Admin on July 02, 2014 Rating: 5

No comments:

ads 728x90 B
Powered by Blogger.