Seo Services

Sidang Khas Parlimen Lulus Usul Kutuk Tindakan Kejam Tembak Jatuh MH17

KUALA LUMPUR, 23 Julai (Bernama) -- Persidangan Khas Dewan Rakyat pada Rabu sebulat suara meluluskan usul mengutuk sekeras-kerasnya tindakan tidak berperikemanusiaan menembak jatuh pesawat Malaysia Airlines (MAS) penerbangan MH17 di timur Ukraine yang mengorbankan 298 nyawa, 17 Julai lalu.

Usul itu menyaksikan kesemua anggota Parlimen yang hadir menzahirkan sentimen senada untuk menyokong usul yang dibawa oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak Rabu pagi.

Seramai 22 anggota Parlimen terdiri daripada 13 anggota Parlimen Barisan Nasional (BN) dan sembilan wakil rakyat pembangkang membahaskan usul itu pada Persidangan Khas Dewan Rakyat yang mula bersidang pukul 10 pagi.

Penerbangan MH17 yang membawa 298 penumpang termasuk 43 warga Malaysia sedang dalam perjalanan dari Amsterdam ke Kuala Lumpur apabila terhempas di wilayah Donetsk, di timur Ukraine, Khamis lepas.

Kerajaan Ukraine percaya pesawat malang itu ditembak jatuh, tetapi sehingga kini tiada pihak yang tampil mengaku bertanggungjawab.

Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin ketika menggulung perbahasan usul itu menegaskan pendirian kerajaan bahawa jenayah yang dilakukan terhadap MH17 merupakan jenayah berat dan menuntut pembelaan di peringkat antarabangsa.

"Setiap usaha akan diambil untuk memastikan pihak yang tidak bertanggungjawab dihadapkan ke muka pengadilan, sama ada di peringkat domestik negara masing-masing yang berkenaan mahupun di peringkat antarabangsa," katanya.

Muhyiddin berkata tindakan yang perlu dilakukan sekarang adalah siasatan yang menyeluruh dan pengumpulan bukti dan untuk tujuan itu Malaysia akan bekerjasama dengan pasukan penyiasat antarabangsa mengenal pasti punca nahas dan mengumpul bukti berkaitan jenayah berkaitan.

Beliau berkata kerajaan akan menubuhkan sebuah pasukan penyiasat khas yang akan dianggotai oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Penerbangan Awam dan agensi-agensi lain untuk membolehkan siasatan dimulakan segera.

Bagi maksud menghadapkan penjenayah yang dikenal pasti itu ke muka pengadilan, Muhyiddin berkata Malaysia akan menggunakan undang-undang jenayah Malaysia yang mempunyai bidang kuasa jenayah luar wilayah (termasuk Kanun Keseksaan dan Akta Kesalahan Penerbangan 1984.

Dalam pada itu, menjawab celahan Lim Guan Eng (DAP-Bagan), Muhyiddin menolak andaian bahawa rundingan yang dibuat bersama pihak pemisah Ukraine ada melibatkan syarat.

"Saya dapat maklum balas daripada perdana menteri yang duduk di sebelah saya ni mengatakan tidak ada sebarang syarat. Kita buat atas dasar pujukan bahawa ini penting bagi kita, maka pihak (Alexander) Borodai setuju tanpa syarat," katanya.

Kepada soalan Datuk Ngeh Koo Ham (DAP-Beruas) sama ada Malaysia akan tetap bertegas untuk mendakwa pihak yang bersalah termasuk jika terbukti kesalahan itu terletak pada pasukan pemisah yang diketuai Borodai, Muhyiddin berkata tindakan sewajarnya tetap diambil tanpa mengira siapa.

"Kita akan teruskan tindakan sewajarnya. Tiada maaf bagi mu," tegasnya.--BERNAMA

Sidang Khas Parlimen Lulus Usul Kutuk Tindakan Kejam Tembak Jatuh MH17 Sidang Khas Parlimen Lulus Usul Kutuk Tindakan Kejam Tembak Jatuh MH17 Reviewed by Admin on July 23, 2014 Rating: 5

No comments:

ads 728x90 B
Powered by Blogger.