KUCHING - Pihak berkuasa tempatan diminta menjadikan bandar raya ini selamat, bersih dan bebas jenayah agar penduduknya hidup dalam keadaan aman serta harmoni.
Ketua Menteri, Tan Sri Adenan Satem berkata, untuk menjayakan matlamat itu, semua pihak perlu menyokong usaha berkenaan.
"Saya menyayangi Kuching dan semua orang juga berperasaan sama kerana orangnya mesra dan ramah yang sentiasa tersenyum menarik para pelancong serta pengunjung.
"Justeru, semua pihak perlu beri sokongan kepada Datuk Bandar Kuching Utara dan Selatan bagi menjadikan bandar raya ini semakin cantik, selamat dan lebih baik untuk generasi kita serta akan datang," katanya melancarkan Festival Kuching dan Ulang Tahun Ke-26 Bandar Raya Kuching di sini, semalam.
Yang turut hadir, isteri beliau, Puan Sri Jamilah Anu; Menteri Pelancongan negeri, Datuk Amar Abang Johari Tun Openg; Menteri Kerajaan Tempatan dan Pembangunan Komuniti negeri, Datuk Seri Wong Soon Koh; Datuk Bandar Kuching Utara, Datuk Abang Abdul Wahap Abang Julai dan Datuk Bandar Kuching Selatan, Datuk James Chan Khay Syn.
Tambah Adenan, jika dilihat 60 tahun dahulu, Kuching merupakan kawasan kecil yang mana semua orang berbasikal dan hanya terdapat beberapa kereta dan motosikal.
Namun jelasnya, hasil pembangunan yang dibuat dan dibawa kerajaan telah menjadikan bandar raya ini dipuji pelancong dan pengunjung luar kerana tersusun dan bersih.
"Saya yakin Datuk Bandar Kuching Utara dan Selatan akan memastikan bandar raya kita ini bersih.
"Bukan hanya bandar yang bersih malah pentadbiran dan pengurusan kedua pihak berkuasa tempatan juga bersih," ujarnya.
Adenan memberitahu, sesuai dengan nama yang diambil sempena nama haiwan peliharaan, kucing merupakan haiwan pembersih yang mana perlu dikekalkan sifat itu di bandar raya ini.
Bandar Raya Kuching hebat, cantik dan selamat
Reviewed by Unknown
on
August 04, 2014
Rating:
No comments: