SYDNEY – Perdana Menteri Australia, Tony Abbott semalam menyambut baik penemuan lebih banyak cebisan daging mangsa-mangsa sebuah pesawat Penerbangan Malaysia (MAS) yang dipercayai jatuh ditembak di lokasi nahas dekat kampung Grabovo, timur Ukraine.
Bagaimanapun, Abbott memberitahu, masa seminggu lagi diperlukan untuk menyelesaikan tugasan mengutip cebisan daging mangsa-mangsa pesawat MH17 itu.
Seramai 38 warga Australia termasuk kanak-kanak merupakan antara 298 orang dan kru pesawat MH17 yang terkorban pada 17 Julai lalu.
Pesawat MAS itu dipercayai ditembak jatuh dengan menggunakan sebuah peluru berpandu ketika ia dalam penerbangan dari Amsterdam, Belanda ke Kuala Lumpur.
Usaha-usaha untuk mengutip cebisan daging mangsa-mangsa MH17 itu terjejas ekoran pertempuran antara askar-askar Ukraine dengan kumpulan pemisah pro-Rusia.
Namun, satu misi yang diketuai polis Belanda berjaya memasuki kawasan lokasi nahas kelmarin.
“Saya boleh melaporkan bahawa lebih banyak cebisan daging dan barang-barang peribadi yang ditemui. Semua cebisan dan barang itu akan dihantar ke Kharkiv untuk dibawa ke Belanda dan akhirnya dihantar balik (kepada waris keluarga),” kata Abbott.
Abbott yang menghantar ratusan anggota polis Australia dan beberapa pegawai lain ke lokasi nahas itu menyatakan situasi di Ukraine adalah berbahaya menyebabkan tugas-tugas menyiasat dan mencari cebisan daging mangsa-mangsa MH17 itu terpaksa menempuh pelbagai kesukaran.
“Ia merupakan proses yang perlahan dan panjang,” katanya kepada pemberita di Sydney.
Setakat ini lebih 220 keranda yang mengandungi mayat mangsa-mangsa MH17 telah dihantar ke Belanda untuk dikenal pasti.
Amerika Syarikat menyatakan kumpulan pemisah pro-Rusia dipercayai menembak jatuh pesawat MAS itu dengan menggunakan peluru berpandu yang dibekalkan Rusia.
Namun, Rusia dan kumpulan pemisah itu menyatakan, sebuah pesawat pejuang Ukraine mungkin menembak jatuh pesawat tersebut. – AFP
Tragedi MH17 : Lebih banyak cebisan daging dan barang-barang peribadi yang ditemui
Reviewed by Unknown
on
August 04, 2014
Rating:
No comments: