Seo Services

Bomba Sarawak Mula Operasi Hazmat Di Bintulu 1 Okt Depan


MIRI: Jabatan Bomba dan Penyelamat Sarawak akan memulakan operasi pasukan Unit Bahan Berbahaya (Hazmat) di Bintulu mulai 1 Okt depan berikutan pertumbuhan pesat industri berat di bahagian itu.

Pengarahnya Nor Hisham Mohammad berkata operasi Hazmat di Bintulu adalah yang kedua di Sarawak, selepas unit pertama Hazmat diwujudkan di Balai Bomba Tabuan Jaya di Kuching dengan kekuatan 32 anggota serta satu jentera.

"Hazmat di Bintulu akan mempunyai kekuatan minimum 33 anggota serta dua jentera bernilai RM4 juta sumbangan Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (Mida) yang diterima secara rasmi pada 7 Ogos lepas," katanya kepada pemberita selepas merasmikan kursus Hazmat di sini, Jumaat.

Nor Hisham berkata secara keseluruhan hanya Sarawak, Pulau Pinang dan Melaka yang mempunyai dua unit Hazmat berbanding negeri lain yang mempunyai satu unit sahaja.

"Bintulu memerlukan Hazmat berikutan perkembangan pesat industri berat di kawasan Taman Perindustrian Samalaju serta industri lain berhampiran kawasan bandar Bintulu," katanya.

Mengenai perkembangan lain, Nor Hisham berkata bagi menangani masalah kebakaran di kawasan perkampungan air di Sarawak, program 'Fire Point' yang melibatkan komuniti awam di kawasan rumah panjang serta di pedalaman di negeri itu akan diperhebat.

"Impak program 'Fire Point' kini mula menunjukkan petanda positif dan pada tahun lepas RM200,000 dibelanjakan untuk melaksanakan program itu antaranya melibatkan pemberian alat pemadam api kepada komuniti awam," katanya.

Beliau berkata hasil daripada program itu daripada 13 kes kebakaran melibatkan rumah panjang di Sarawak, dua daripada kes kebakaran berkenaan dipadamkan sendiri oleh penduduk manakala 11 kes lagi dipadamkan oleh bomba.

"Ini menunjukkan sudah ada kesedaran hasil daripada program tersebut kerana bagi setiap rumah panjang kerugian dianggarkan RM1.5 juta dan risiko kerugian dapat dikurangkan berikutan inisiatif penduduk memadamkan api menggunakan alat pemadam api sebelum bantuan bomba sampai," katanya.

Beliau berkata selain program 'Fire Point' turut bakal dilaksanakan ialah perkhemahan khas melibatkan peserta dari kawasan komuniti tertentu bermalam selama tiga hari dua malam bersama anggota bomba, mempelajari teknik pencegahan dan memadam api.- BERNAMA
Bomba Sarawak Mula Operasi Hazmat Di Bintulu 1 Okt Depan Bomba Sarawak Mula Operasi Hazmat Di Bintulu 1 Okt Depan Reviewed by Unknown on September 05, 2014 Rating: 5

No comments:

ads 728x90 B
Powered by Blogger.