Perbuatan memakaikan anjing dengan serban dan jubah harus dihentikan kerana ia menyinggung hati masyarakat Islam yang menghormati golongan ulama di negara ini, kata Mufti Selangor, Datuk Mohamad Tamyes Abdul Wahid.
Beliau berkata, gambar anjing berserban serta berjubah kini disiarkan di media sosial oleh pihak tidak bertanggungjawab dan perbuatan itu lebih bertujuan untuk menghina masyarakat Islam terutama para ulama di negara ini.
"Para ulama yang sentiasa memberi pandangan baik kepada masyarakat, memberi garis panduan untuk bergerak melaksanakan tugas berkaitan dengan hukum hakam, tiba-tiba dihina sebegitu rupa.
"Ini adalah satu agenda yang menjijikkan, langsung tidak menghormati para ulama, mereka memberi tentangan secara fizikal, tidak berani berdepan untuk berhujah, tetapi melahirkan tentangannya melalui perbuatan menghina," katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita ketika ditemui selepas majlis penutupan Multaqa' Anggota Jawatankuasa Fatwa Seluruh Malaysia 2014 yang disempurnakan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Jamil Khir Baharom di sini hari ini.
Mohamad Tamyes berkata, umat Islam sebenarnya tidak boleh membelai anjing kerana ia bukan haiwan peliharaan, kecuali untuk menjadi binatang buruan, menjaga keselamatan atau mengesan barangan.
"Tetapi kalau kita membelanya dengan membelai seperti kucing dengan membawanya masuk ke dalam rumah, itu adalah haram dan malaikat rahmat tidak akan masuk ke rumah yang ada anjing," katanya. - Bernama
Anjing Dipakaikan Serban Adalah Satu Tindakan Bodoh
Reviewed by Unknown
on
October 24, 2014
Rating:
No comments: