Seo Services

Kehilanggan Tokoh Unggul, William Ghani Bina Tiada Ganti


KUCHING: Sarawak kehilangan seorang tokoh unggul dalam dunia perguruan, kata Timbalan Ketua Menteri Datuk Patinggi Tan Sri Alfred Jabu Numpang.

Katanya Mendiang William Ghani Bina banyak menabur bakti dalam pembangunan dan kebajikan guru secara keseluruhannya di negeri ini.

“Kita kehilangan seorang sahabat yang sangat baik, seorang yang setia daripada komuniti Orang Ulu, Lun Bawang dan sepanjang hidupnya, mendiang bukan sahaja mewakili komunitinya tetapi juga komuniti lain khususnya dalam membangun dan menjaga kebajikan guru di negeri ini,” katanya.

Jabu berkata demikian ketika ditemui selepas memberi penghormatan terakhir kepada mendiang di kediamannya di Jalan Hua Joo Park Type dekat sini semalam.

Beliau memberitahu, mendiang telah menerajui Kesatuan Guru Sarawak (STU) lebih 20 tahun kerana hasil kepercayaan para guru terhadapnya.

“Oleh itu, saya mengucapkan takziah kepada ahli keluarga mendiang dan pemergiannya satu kehilangan yang besar,” tambahnya.

Menurut Jabu selain berjuang tentang kebajikan guru, mendiang juga banyak membantu membangunkan tanah Hak Adat Bumiputera (NCR) yang terbiar di negeri ini untuk dimajukan dalam sektor perladangan.

“Selepas bersara mendiang dilantik menjadi ahli Lembaga Ladang Kelapa Sawit Bau dan menerusi pengalamannya, mendiang banyak membantu dalam pembangunan ladang di negeri ini khususnya melibatkan komuniti Orang Ulu termasuk masyarakat Lun Bawang,” jelasnya. .

Terdahulu, Menteri Perumahan dan Menteri Pelancongan Datuk Amar Abang Johari Tun Abang Openg yang hadir memberi penghormatan terakhir juga menyifatkan pemergian mendiang satu kehilangan besar kepada dunia pendidikan.

“Mendiang banyak membantu memaju dan membangunkan mutu pendidikan di negeri ini khususnya dalam kebajikan para guru.

“Kita amat terasa atas pemergian mendiang kerana jasa dan pengorbanan yang telah beliau berikan kepada rakyat negeri ini,” ujarnya.

Selain Jabu dan Abang Johari, antara ahli yang berhormat hadir memberi penghormatan terakhir ialah Tan Sri Peter Chin, Datuk Dr Sim Kui Hian, Pengerusi Majlis Perbandaran Padawan Lo Khere Chiang, Datuk Sebastian Ting dan ADUN Batu Lintang See Chee How.-BP
Kehilanggan Tokoh Unggul, William Ghani Bina Tiada Ganti Kehilanggan Tokoh Unggul, William Ghani Bina Tiada Ganti Reviewed by Unknown on October 27, 2014 Rating: 5

No comments:

ads 728x90 B
Powered by Blogger.