Seo Services

Kerajaan Sarawak Lulus Geran RM300,000 Pulihara Bahasa Terancam


KUCHING: Kerajaan Sarawak meluluskan geran RM300,000 kepada Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) Cawangan Sarawak untuk memulakan usaha memulihara lima bahasa pribumi yang dikategori sebagai 'terancam'.

Menteri Pelancongan negeri Datuk Amar Abang Johari berkata DBP mendapati bahasa Narum, Sihan, Lahanan, Bukitan dan Seru tergolong dalam kategori itu.

Katanya bahasa itu kini semakin lenyap akibat pengaruh bahasa utama seperti bahasa Malaysia dan bahasa Inggeris.

"Saya telah sebut tentang bahasa ini dan (bahasa) Penan. Kebanyakan bahasa ini begitu sinonim dengan kumpulan etnik," katanya pada sidang akhbar selepas merasmikan Persidangan Antarabangsa mengenai Pemprosesan Bahasa Asia 2014 di sini hari ini.

Abang Johari berkata penyelidik bahasa perlu mendampingi kumpulan etnik berkenaan, yang tinggal di kawasan pedalaman atau terpencil di Sarawak untuk membina perbendaharaan kata bahasa terancam.

Terdahulu, dalam ucapannya pada majlis itu, Abang Johari berkata bahasa tempatan memainkan peranan strategik dalam pembangunan pelancongan, yang merupakan antara industri penting global.

Sementara itu, Naib Canselor Universiti Malaysia Sarawak Prof Datuk Dr Mohamad Kadim Suaidi berkata universiti itu dan Persatuan Pemprosesan Maklumat mengenai Bahasa Cina dan Timur menjadi penganjur bersama persidangan tiga hari itu, yang berakhir Rabu.

Penyelidik dari China, Indonesia, Vietnam, Filipina, India, Jepun, Taiwan, Arab Saudi dan Malaysia menyertai persidangan itu.- BERNAMA
Kerajaan Sarawak Lulus Geran RM300,000 Pulihara Bahasa Terancam Kerajaan Sarawak Lulus Geran RM300,000 Pulihara Bahasa Terancam Reviewed by Unknown on October 20, 2014 Rating: 5

No comments:

ads 728x90 B
Powered by Blogger.