KUALA LUMPUR: Berikut adalah kronologi peristiwa berkaitan kes liwat kedua Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Pada 28 Jun, 2008 : Bekas pembantu Anwar, Mohamad Saiful Bukhari Azlan, membuat laporan polis mendakwa Anwar telah meliwatnya di sebuah kondominium di Damansara. Laporan itu dibuat dua hari selepas dakwaan insiden liwat itu.
Pada 30 Jun, 2008 : Anwar memfailkan saman fitnah terhadap Mohd Saiful, yang membuat laporan polis ke atasnya bagi tuduhan liwat, dengan mendakwa laporan itu palsu dan berniat jahat.
Pada 7 Ogos, 2008 : Anwar, 60, penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR) mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini atas pertuduhan meliwat bekas pembantunya, Mohamad Saiful Bukhari Azlan, 23, di Unit 11-5-1 Kondominium Desa Damansara, Jalan Setiakasih, Bukit Damansara, antara 3.10 petang dan 4.30 petang pada 26 Jun, 2008.
Beliau dituduh mengikut Seksyen 377B Kanun Keseksaan yang membawa hukuman maksimum penjara 20 tahun dan sebat jika sabit kesalahan.
Hakim S.M. Komathy Suppiah membenarkan Anwar dibebaskan dengan bon peribadi RM20,000 tanpa penjamin.
Pada Nov 7, 2008 : Hakim Mahkamah Sesyen S.M Komathy Suppiah memutuskan supaya kes liwat Anwar dibicarakan di Mahkamah Sesyen selepas mendapati sijil untuk memindahkan kes itu ke Mahkamah Tinggi, yang ditandatangani oleh Peguam Negara Tan Sri Abdul Gani Patail, tidak sah.
Dalam menolak permohonan pendakwaan (supaya kes itu dipindahkan ke mahkamah Tinggi), Komathy berkata sijil itu bercanggah dengan jangkaan perundangan Anwar bahawa Abdul Gani tidak akan terlibat dalam kes itu.
Pada 5 Mac, 2009 : Mahkamah Tinggi memutuskan kes liwat itu dibicarakan di Mahkamah Tinggi dan bukannya di Mahkamah Sesyen.
Hakim Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur Datuk Mohamad Zabidin Mohd Diah membuat keputusan itu ekoran permohonan pihak pendakwaan supaya dikaji semula keputusan Mahkamah Sesyen mengekalkan perbicaraan kes itu di Mahkamah Sesyen.
Beliau berkata Hakim Mahkamah Sesyen S.M Komathy Suppiah telah terkhilaf dalam memutuskan bahawa sijil pemindahan kes itu, yang ditandatangani oleh Peguam Negara Tan Sri Abdul Gani Patail, tidak sah.
Pada 6 Mac, 2009 : Anwar memfailkan rayuan di Mahkamah Rayuan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi supaya kes liwatnya didengar di Mahkamah Tinggi.
Pada 10 Mac, 2009 : Mahkamah Tinggi menetapkan 1-24 Julai sebagai tarikh perbicaraan kes liwat itu.
Pada 17 Jun, 2009 : Anwar telah memfailkan permohonan untuk mengetepikan pertuduhan liwat beliau di Mahkamah Tinggi.
Pada 6 Nov, 2009 : Mahkamah Rayuan menolak permohonan Anwar untuk mendapatkan dokumen penting dan sampel DNA yang didakwanya amat penting untuk pembelaannya dalam perbicaraan bagi pertuduhan liwat yang dihadapinya.
Antara dokumen penting itu ialah kenyataan yang direkodkan daripada saksi iaitu Mohd Saiful, Dr Osman Abdul Hamid dari Hospital Pusrawi, pemilik kondominium Hassanuddin Abdul Hamid, kenyataan tiga doktor Hospital Kuala Lumpur, nota ahli kimia dan laporan perubatan.
Pada 1 Dis, 2009 : Mahkamah Tinggi memutuskan bahawa ia tidak boleh membatalkan pertuduhan meliwat terhadap Anwar hanya berdasarkan laporan perubatan yang menyatakan ketiadaan penetrasi.
Semasa menolak permohonan Anwar untuk mengetepikan pertuduhan liwatnya, Hakim Datuk Mohamad Zabidin Mohd Diah berkata laporan perubatan tidak boleh dijadikan asas untuk mahkamah menggunakan kuasa untuk membatalkan pertuduhan itu.
Pada 3 Feb, 2010 : Perbicaraan kes liwat Anwar dimulakan dengan Mohd Saiful memberi keterangan sebagai saksi pertama. Perbicaraan itu, di hadapan Hakim Mohamad Zabidin, bermula selepas 18 bulan Anwar dituduh pada Ogos 2008.
Dalam keterangannya, Mohd Saiful memberitahu bahawa Anwar, yang didakwa meliwatnya, telah mengajaknya untuk melakukan hubungan seks di luar tabii.
Mohd Saiful berkata insiden itu berlaku pada 26 Jun, 2008 selepas beliau dan Anwar selesai berbincang mengenai jadual kerja di sebuah unit kondominium Desa Damansara di sini. - Bernama
Kronologi Peristiwa Kes Liwat Kedua Anwar Ibrahim
Reviewed by Salfian Nawawi
on
October 26, 2014
Rating:
No comments: