KUALA LUMPUR: Beberapa persatuan Mahasiswa Universiti Malaya (UM) serta wakil pelajar membantah keras kedatangan Ketua Umum Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim sempena Program Pidato Umum, ’40 tahun dari UM ke Penjara’ pada esok.
Presiden Penggerak Mahasiswa UM, Wan Mohd. Suhail Wan Senu berkata, program anjuran Presiden Persatuan Mahasiswa UM, Fahmi Zainol berkenaan tidak mewakili suara keseluruhan mahasiswa dan dilihat boleh menggugat dan membahayakan keselamatan kampus.
Menurutnya, pihaknya bimbang sekiranya penyokong PKR dari luar akan memasuki kawasan kampus dan sekiranya berlaku provokasi maka mahasiswa yang akan dipersalahkan.
“Kami juga bimbang Anwar akan menyalahgunakan program berkenaan untuk menghasut dan mengeksploitasi mahasiswa supaya turun ke jalanan bagi menyokong agenda politik beliau.
“Kenyataan Fahmi yang bertajuk ‘Ayuh Semarakkan Reformasi Dari UM ke Putrajaya’ sebelum ini juga merupakan ungkapan yang berbaur hasutan kerana menyeru mahasiswa dan anak muda turut sama terlibat dalam Himpunan Reformasi Rakyat Hakim Negara,” katanya kepada The Rakyat Post di sini.
Antara persatuan lain yang membantah program tersebut ialah Sekretariat Presiden-Presiden Kolej Kediaman UM dan wakil mahasiswa dari Universiti Kebangsaan Malaysia, Universiti Teknologi Mara, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia serta Universiti Putra Malaysia.
Tambahnya lagi, Fahmi juga dikatakan tidak memaklumkan penganjuran program berkenaan kepada wakil Majlis Perwakilan Pelajar yang lain.
“Oleh itu, kami melihat ia merupakan seolah-olah agenda peribadi beliau dan tidak sepatutnya melibatkan mahasiswa UM dalam perkara ini,” jelasnya. - Rakyat Post
Mahasiswa Bantah Kedatangan Anwar Ke UM
Reviewed by Salfian Nawawi
on
October 26, 2014
Rating:
No comments: