Seo Services

Pembalakan Haram Di Sarawak: Lebih Ramai Akan Ditahan


PETALING JAYA: Lebih banyak serbuan dibuat di kawasan pembalakan sekitar Limbang dan Lawas, Sarawak dalam operasi besar-besaran bagi membanteras kegiatan pembalakan haram dan rasuah menerusi Ops Tukul yang berakhir Jumaat.

Pengarah Siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Datuk Mohd Jamidan Abdullah berkata, antara 400 hingga 500 kayu balak haram dirampas, selain lapan jentolak dan beberapa lagi mesin serta peralatan yang keseluruhannya bernilai RM1.7 juta dalam operasi pada Jumaat lalu.

Beliau berkata, SPRM juga meneliti kegiatan pembalakan membabitkan lebih 10 syarikat, termasuk individu di Kuching.

"Kami masih menyiasat mereka bagi memastikan tempoh pembabitan mereka dalam operasi haram ini. Pemeriksaan juga dilakukan untuk mengesan sebarang penyelewengan atau percanggahan fakta dalam rekod mereka.

"Saya percaya lebih banyak penahanan akan dibuat dalam masa terdekat," katanya ketika dihubungi pada Sabtu.

Sebelum ini, SPRM menahan 10 suspek termasuk Ketua Jabatan Siasatan Jenayah sebuah daerah di Sarawak kerana mendapat bayaran bagi melindungi kegiatan pembalakan haram di negeri itu. Mereka berusia antara 28 hingga 72 tahun.

Pada Khamis, Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi) SPRM, Datuk Seri Mohd Shukri Abdull berkata, suspek ditahan di Limbang, Sibu, Kuching, Miri dan Kapit menerusi Ops Tukul bermula Isnin.

Selain pegawai polis terbabit, suspek lain adalah pengurus besar, pemilik, pengurus kem dan pemegang saham syarikat pembalakan tempatan.

Mohd Shukri berkata, mereka telah membekukan akaun bank milik syarikat-syarikat itu dengan nilai keseluruhan mencecah RM18 juta hasil kegiatan rasuah.

Katanya, dalam tempoh sembilan bulan pertama tahun ini, kerajaan Sarawak kerugian kira-kira RM43 juta kerana kegiatan pembalakan haram.

Ops Tukul dijalankan dengan kerjasama SPRM serta polis, polis marin, Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM), Jabatan Perhutanan Sarawak dan Pasukan Gerak Am. - mStar
Pembalakan Haram Di Sarawak: Lebih Ramai Akan Ditahan Pembalakan Haram Di Sarawak: Lebih Ramai Akan Ditahan Reviewed by Salfian Nawawi on October 26, 2014 Rating: 5

No comments:

ads 728x90 B
Powered by Blogger.