LAHAD DATU: Pihak Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (Esscom) memberkas tiga lelaki menaiki sebuah bot kerana melanggar syarat perintah berkurung selain dipercayai menjadi pemberi maklumat kepada penjenayah rentas sempadan dari negara jiran, di perairan Pulau Mabul, Semporna semalam.
Komander Esscom Datuk Abdul Rashid Harun berkata sekumpulan empat anggota keselamatan yang menjalankan operasi mengesan bot berkenaan melintasi kawasan jeti Smart Bangalow Resort, Pulau Mabul pada kira-kira 8.30 malam.
"Anggota Esscom juga mengesan "mesej mencurigakan" yang dihantar melalui khidmat pesanan ringkas (SMS) oleh seorang daripada suspek berkenaan yang memberi amaran kepada orang lain -- 'jangan masuk kerana ada pasukan keselamatan di perairan ini'," katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Abdul Rashid berkata dua daripada suspek itu memiliki dokumen pengenalan diri sah manakala seorang lagi mempunyai dokumen pengenalan berstatus pendaftaran lewat.
Pihaknya turut merampas bot yang dinaiki suspek, sebuah telefon bimbit, buku nota, dompet, wang tunai sebanyak RM1,890 dan satu set GPS (Global Positioning System) Garmin.
Beliau berkata pihaknya sedang menyiasat secara terperinci sama ada ketiga-tiga lelaki berkenaan menjadi tali barut atau pemberi maklumat kepada penjenayah rentas sempadan.
Abdul Rashid, yang memandang serius perkara itu, memberi amaran bahawa tindakan tegas akan diambil terhadap individu atau mana-mana pihak yang bersekongkol dengan penjenayah.
"Kita tidak akan berkompromi dengan mereka yang menjadi dalang atau tali barut kepada penjenayah terutama penculik dari negara jiran," katanya.
Perintah berkurung yang dikuatkuasakan di perairan enam daerah di Zon Selamat Timur Sabah (Esszone) dilanjutkan sehingga 6 Nov depan. - Bernama
Tiga Lelaki Langgar Perintah Berkurung, Dipercayai Pemberi Maklumat - Esscom
Reviewed by Salfian Nawawi
on
October 23, 2014
Rating:
No comments: