KUALA LUMPUR: Menteri Pengangkutan Datuk Seri Liow Tiong Lai kini berada di Amerika Syarikat (AS) untuk mendapatkan bantuan berhubung dua tragedi yang menimpa syarikat penerbangan kebangsaan Malaysia Airlines (MAS) tahun ini.
USA Today melaporkan beliau akan mengunjungi Setiausaha Pengangkutan Amerika Syarikat Anthony Foxx dan melawat Pertubuhan Penerbangan Awam Antarabangsa (ICAO) di Montreal, Kanada minggu depan.
Menyentuh Penerbangan MH370 yang hilang sejak 8 Mac, Liow memberitahu media AS itu bahawa operasi pencarian kini meliputi fasa laut dalam dan bantuan negara berkenaan dipohon dalam konteks peralatan selanjutnya.
"Sekarang kami memerlukan lebih peralatan untuk meninjau sama ada terdapat lebih banyak teknologi dan kepakaran untuk menjejaki pesawat itu," katanya berhubung operasi di Lautan Hindi bagi mengesan MH370, yang hilang bersama 239 orang ketika dalam penerbangan ke Beijing dari Kuala Lumpur.
Semasa melawat ke ICAO, Liow dijangka memberi tumpuan kepada usaha mendapatkan sistem mengesan penerbangan untuk mengelak pesawat daripada hilang seperti MH370, menurut laporan itu.
Liow, yang turut memberi tumpuan terhadap tragedi Penerbangan MH17 terhempas di Ukraine pada 17 Julai lepas, akan menggesa ICAO menerima pakai resolusi untuk akses lebih baik di tapak nahas.
Para penyiasat dilaporkan masih tidak mendapat akses ke kawasan nahas di timur Ukraine. Insiden itu menyaksikan 298 orang yang berada dalam pesawat terkorban termasuk lebih 40 warga Malaysia.
Bangkai pesawat perlu diperiksa oleh pakar keselamatan untuk menentukan apa yang sebenarnya berlaku kepada pesawat Malaysia itu, kata Liow kepada USA Today.
Beliau turut memaklumkan apa yang mungkin menyebabkan pesawat itu terhempas.
"Kami mengesyaki peluru berpandu membedil pesawat itu," katanya.- BERNAMA
Tragedi MH17, MH370: Liow Ke AS, Kanada Untuk Dapatkan Bantuan
Reviewed by Unknown
on
October 25, 2014
Rating:
No comments: