Seo Services

Tuntutan Royalti Minyak, Gas Diketahui November


KOTA SAMARAHAN: Hasil rundingan kerajaan negeri dan Petronas tentang tuntutan royalti minyak dan gas sebanyak 20 peratus yang menampakkan perkembangan positif akan dibentang pada Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) November depan.

Ketua Menteri Datuk Patinggi Tan Sri Adenan Satem berkata, tuntutan penambahan bayaran royalti daripada lima peratus kepada 20 peratus itu penting dalam merancakkan lagi pembangunan di negeri ini khususnya kawasan luar bandar.

Malah, katanya pemberian royalti itu juga bagi membolehkan Sarawak turut terlibat dalam industri minyak dan gas di sini.
“Kita mahu meningkatkan pendapatan dan ekonomi negeri sebab itu saya tidak senang hati kalau royalti gas dan minyak kita hanya lima peratus sahaja…kita mahu menerima 20 peratus (royalti).

“Mereka (Petronas) telah bersetuju dengan saranan kita ini, saya akan membuat satu pengisytiharan bulan November nanti dalam Persidangan DUN bagaimana (hasil) rundingan kita dengan pihak Petronas telah dijalankan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Ramah Mesra Pemimpin Bersama Rakyat Bahagian Samarahan di Dewan Suarah Kota Samarahan di sini, semalam.

“Kita tidak mahu menjadi penonton sahaja, kita mahu memainkan peranan dalam industri minyak dan gas ini,” tambahnya.

Pada masa sama, Adenan turut memberitahu bahawa pengumuman Bajet 2015 Negeri pada November nanti juga akan menitikberatkan pembangunan di kawasan luar bandar.

Jelasnya, kerajaan memang mahu melihat Sarawak menjadi negeri maju di Malaysia dalam semua bidang menjelang 2020 nanti.
“Dalam perancangan masa depan kita, Bajet 2015 kita akan lebih cenderung kepada pembangunan luar bandar kerana Sarawak mempunyai kira-kira 5,000 kampung berselerak, kebanyakannya di luar bandar yang patut kita bangunkan,” katanya.

Hasil rundingan tuntutan royalti 20 peratus daripada Petronas dibentang pada Persidangan DUN, November.

Selain itu, Adenan memberitahu bahawa kerajaan negeri tidak akan mengeluarkan atau memberi lagi lesen balak baharu bagi meningkatkan kawasan taman negara di negeri ini.

Malah, tegasnya pemilik lesen balak sedia ada yang ingin membuat pembaharuan juga akan ditapis dengan teliti supaya kawasan hijau di negeri ini tidak terjejas dengan aktiviti pembalakan haram.

“Pada masa sama kita juga memberi kursus integriti kepada 1,500 pegawai penguat kuasa bagi mengurangkan aktiviti rasuah di kalangan penguat kuasa di sini kerana kita tidak mahu Sarawak terjejas akibat aktiviti rasuah,” ujarnya.

Hadir sama pada majlis itu, Menteri Pembangunan Infrastruktur dan Perhubungan Dato Sri Michael Manyin Jawong, Menteri Muda Perancangan Sumber Datuk Mohd Naroden Majais, Menteri Pembanguan Belia (Bandar) Datuk Abdul Karim Rahman Hamzah, Menteri Muda Pembangunan Luar Bandar Datuk Julaihi Narawi, Ahli Parlimen Kota Samarahan Rubiah Wang, ADUN Muara Tuang Datuk Seri Mohammad Ali Mahmud, ADUN Sadong Jaya Aidil Lariwoo dan tetamu kehormat lain. - UB
Tuntutan Royalti Minyak, Gas Diketahui November Tuntutan Royalti Minyak, Gas Diketahui November Reviewed by Salfian Nawawi on October 21, 2014 Rating: 5

No comments:

ads 728x90 B
Powered by Blogger.