GURUN: Peluru roket anti kereta kebal disahkan sebagai punca sebenar kejadian letupan di Taman Ria Mesra, Gurun pada Rabu lalu, dan bukannya tong gas, bom tangan atau peluru mortar seperti yang diinyatakan dalam laporan-laporan awal sebelum ini.
Polis Kedah hari ini mendedahkan, letupan daripada peluru dengan nama ‘High Explosive Tank‘ itu telah mengakibatkan empat nyawa melayang, termasuk bayi dalam kandungan seorang daripada mangsa wanita.
Pemangku Ketua Polis Kedah, Datuk Zakaria Yusof berkata, peluru roket anti kereta kebal itu digunakan oleh Angkatan Tentera Malaysia (ATM) untuk memusnahkan kereta kebal dengan dilepaskan dari pelancar roket.
“Pihak kami percaya terdapat lebih daripada satu bom yang meletup kerana kawasan kawah letupan itu luasnya kira-kira satu meter, tetapi siasatan masih dilakukan.
“Bom (peluru anti kereta kebal) itu memang digunakan oleh ATM dan mangsa yang meninggal itu cuba mengabstrak item berharga di dalam peluru,” katanya di dalam sidang media selepas melawat lokasi kejadian.
Zakaria juga berkata bahawa pihaknya akan menyiasat bagaimana bom tersebut boleh dibawa keluar dari kem latihan tentera dan akan bekerjasama dengan ATM bagi menyiasat lebih lanjut perkara berkenaan.
Serpihan bom di lokasi kejadian telah dikutip bagi membantu siasatan polis dan juga ATM selain rakaman percakapan daripada penduduk setempat turut diambil.
Kelihatan dalam gambar anggota tentera sedang membawa sejenis senjata pelancar roket anti kereta kebal yang digunakan oleh Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dalam satu sesi latihan. - Foto ATM
Zakaria juga mengesahkan sehingga hari ini polis telah menerima 61 laporan berhubung kerosakan rumah yang dialami penduduk taman berkenaan akibat letupan berkenaan.
Dalam kejadian kira-kira jam 4.45 petang itu, seorang anggota tentera, Ayub Hashim, 34, anak perempuannya berusia lapan tahun Nur Idayu Syahirah Ayob, serta anak jirannya Aqif Mohd Sharizal, 4, maut.
Sementara itu isteri Ayob, Sharifah Azlina Hashim, 30, yang mengandung enam bulan, dan jirannya Zuraida Mat Rotebe, 30, iaitu ibu kepada Aqif cedera parah, manakala anak dalam kandungan Sharifah Azlina dilaporkan turut meninggal dunia akibat kejadian itu. - RakyatPost
Peluru Roket Anti Kereta Kebal Punca Sebenar Letupan Di Gurun
Reviewed by Salfian Nawawi
on
December 28, 2014
Rating:
Reviewed by Salfian Nawawi
on
December 28, 2014
Rating:


No comments: