PETRA JAYA: Kerajaan Sarawak menyediakan peruntukan awal sebanyak RM2 juta untuk disumbangkan bagi membantu mangsa banjir di pantai timur dan beberapa negeri lain di Semenanjung.
Sumbangan disampaikan Ketua Menteri, Tan Sri Adenan Satem kepada Setiausaha Majlis Keselamatan Negara (MKN) Sarawak, Addyhanis Ahamed di Kompleks Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak, di sini, sebentar tadi.
Adenan ketika ditemui pemberita berkata, peruntukan itu bagi membantu meringankan beban mangsa banjir yang kehilangan harta benda dalam bencana itu yang disifatkan terburuk dalam sejarah negara.
"Rakyat Sarawak amat bersimpati dengan mangsa banjir di Semenanjunh dan kita akan menghulurkan bantuan sewajarnya bagi membantu mereka.
"Ini sebagai permulaan kerana kemungkinan ada gelombang ketiga banjir di sana. Rakyat Sarawak berdoa agar keadaan kembali pulih di sana," katanya.
Sementara itu, beliau berkata, kerajaan negeri dan seluruh rakyat turut bersedih dengan insiden menimpa pesawat malang AirAsia Indonesia, QZ8501 yang dilaporkan hilang ketika dalam penerbangan dari Surabaya ke Singapura, kelmarin.
"Ini tragedi yang mengejutkan, malah kita bersedih kerana satu-satunya warga Malaysia yang berada dalam pesawat itu adalah rakyat Sarawak.
"Kerajaan Sarawak sedang meneliti bentuk bantuan yang boleh disalurkan kepada keluarga penumpang terbabit," katanya.
Ahli perniagaan, Sii Chung Huei, 56, yang berasal dari Sibu dikenalpasti sebagai salah seorang penumpang pesawat berkenaan.
Beliau yang menjalankan perniagaan papan lapis di Surabaya dikatakan dalam perjalanan pulang ke Sarawak melalui Singapura.
Mangsa juga adalah suami kepada pensyarah kanan jurusan perniagaan UiTM Kota Samarahan, Profesor Madya Annie Wong Muk Ngiik.-BH
Sarawak Sumbang RM2 Juta Untuk Mangsa Banjir
Reviewed by Unknown
on
December 30, 2014
Rating:
Reviewed by Unknown
on
December 30, 2014
Rating:

No comments: