Seo Services

Laporan Penuh Tragedi MH17 Siap Lepas Bulan Jun


DAVOS: Laporan penuh tragedi pesawat milik Malaysia Airlines penerbangan MH17 dijangka siap selepas pertengahan tahun ini, kata Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak, hari ini.

Najib, yang mengetuai delegasi Malaysia ke Forum Ekonomi Dunia ke-45 berkata, perkara itu dimaklumkan oleh Perdana Menteri Belanda Mark Rutte pada mesyuarat dua hala pada Khamis.

Najib yang juga menteri kewangan berkata, laporan itu masih dalam peringkat penyediaan oleh jawatankuasa bebas yang dibentuk untuk menyiasat tragedi berkenaan.

“Beliau (Mark) memberi jaminan akan memberitahu saya terlebih dahulu berkenaan penemuan dan rumusan sebelum mendedahkan laporan itu kepada umum.

“Perdana menteri Belanda menegaskan tragedi MH17 merapatkan hubungan kedua-dua negara,” katanya kepada media.

Pada 17 Julai lepas, pesawat MH17, yang berlepas dari Amsterdam ke Kuala Lumpur terhempas di Donetsk, Ukraine berdekatan sempadan Rusia.

Pesawat Boeing 777-200 yang membawa 298 orang termasuk 283 penumpang dan 15 anak kapal itu, dipercayai ditembak jatuh tetapi belum ada pihak yang mengaku bertanggungjawab terhadap tragedi itu sehingga sekarang.

Selain rakyat Malaysia, penumpang pesawat itu terdiri warga Belanda, Australia, United Kingdom, Jerman, Belgium, Kanada, New Zealand, Indonesia dan Filipina.

Najib berkata pertemuan kira-kira 20 minit itu turut membincangkan tentang minat Belanda dalam minyak sawit dan kayu balak.

Selain itu, Perdana Menteri turut mengadakan pertemuan dua hala dengan Perdana Menteri Turki, Ahmet Davutoglu dan Ketua Menteri Andhra Pradesh, India, Chandra Babu Naidu.

Antara yang dibincangkan termasuk langkah untuk terus meningkatkan hubungan dua hala dalam semua bidang termasuk teknologi, ekonomi, perdagangan dan ketenteraan. - RakyatPost
Laporan Penuh Tragedi MH17 Siap Lepas Bulan Jun Laporan Penuh Tragedi MH17 Siap Lepas Bulan Jun Reviewed by Salfian Nawawi on January 23, 2015 Rating: 5

No comments:

ads 728x90 B
Powered by Blogger.