KUCHING: Pelbagai lapisan masyarakat menghadiri Rumah Terbuka sambutan Tahun Baru Cina Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP) di Ibu Pejabat SUPP, Jalan Tan Sri Ong Kee Hui di sini pagi tadi.
Kedatangan mereka, yang dianggarkan melebihi 2,000 orang seawal jam 9 pagi disambut dengan mesra oleh Presiden SUPP Senator Datuk Sim Kui Hian dan barisan pemimpin-pemimpin SUPP yang lain.
Rumah Terbuka Tahun Baru Cina SUPP adalah amalan tahunan yang diadakan sebagai platform untuk masyarakat bertemu dan beramah mesra dengan pemimpin SUPP di samping mengucapkan Selamat Tahun Baru Cina yang menyemarakkan keharmonian antara masyarakat berbilang kaum dan agama.
Antara yang hadir pada sebelah pagi tadi adalah Timbalan Ketua Menteri Datuk Patinggi Tan Sri Alfred Jabu, Menteri Perumahan dan Perlancongan Datuk Amar Abang Haji Johari Tun Abang Haji Openg, bekas Timbalan Ketua Menteri dan Presiden SUPP Tan Sri Dr George Chan Hong Nam, Menteri Di Pejabat Perdana Menteri Hajah Nancy Shukri, Timbalan Menteri Dalam Negeri Dato' Seri Dr Haji Wan Junaidi Tuanku Jaafar dan pemimpin-pemimpin yang lain. - Sarawakiana
Gambar Rumah Terbuka Tahun Baru Cina SUPP
Reviewed by Salfian Nawawi
on
February 19, 2015
Rating:
No comments: