Seo Services

Malaysia, Indonesia Setuju Bekerjasama Kongsi Maklumat Risikan Tangani IS



KUALA LUMPUR: Malaysia dan Indonesia bersetuju untuk bekerjasama dalam perkongsian sumber perisikan, selain memantau pergerakan anggota kumpulan militan IS yang pernah berperang di Syria dan Iraq, serta media sosial.

Menteri Pertahanan Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata peranan Malaysia dan Indonesia amat penting dan kritikal kerana kedua-dua negara ini memiliki populasi penduduk Islam terbesar di rantau ASEAN.

"Sesungguhnya ancaman IS adalah benar dan situasi semasa yang berlaku di Iraq, Syria serta beberapa buah negara lain tidak mustahil boleh berkembang ke rantau ASEAN.

"Rantau ini mempunyai beberapa 'kawasan panas' yang boleh dimanipulasikan untuk menyebarluaskan ideologi IS," katanya dalam sidang media sempena lawatan Menteri Pertahanan Indonesia, Ryamizard Ryacudu di Wisma Perwira Angkatan Tentera Malaysia (ATM), di sini, hari ini.

Berhubung isu persempadanan maritim, Hishammuddin berkata kedua-dua negara bersetuju untuk tidak melanjutkan provokasi dan pertikaian yang mungkin wujud, yang mampu menjejaskan hubungan diplomatik kedua-dua negara.

Mengenai inisiatif mewujudkan Pasukan Pengaman ASEAN, Hishammuddin berkata beliau telah melahirkan hasrat Malaysia untuk mendapatkan sokongan Indonesia dalam merealisasikan konsep pasukan itu di bawah Satu Bendera Pertubuhan Bangsa Bersatu (PBB).

"Terdapat tiga fasa di bawah konsep ini iaitu Fasa 1: penerimaan pakai "ASEAN Badge" di kalangan negara anggota, Fasa II: penghantaran misi-misi ASEAN ke luar negara dan Fasa III: penggunaan bendera PBB," katanya.

Terdahulu, Hishammuddin dan Ryamizard menghadiri mesyuarat bilateral bagi membincangkan pelbagai topik yang menyentuh kepentingan keselamatan dan pertahanan kedua-dua negara dan serantau.

Lawatan Menteri Pertahanan Indonesia itu bertujuan mengukuhkan hubungan erat dalam bidang pertahanan dan memastikan kestabilan serta keselamatan rantau ini terus dipelihara.

Sementara itu, Ryamizard berkata dengan kerjasama ini, kedua-dua negara dapat menjaga keselamatan negara masing-masing daripada ancaman pengganas IS yang kini sudah menjadi satu trend.

" Jika dibiarkan berlarutan pengganas akan bersatu dan menjadi kuat. Ini yang kita tidak inginkan berlaku di negara masing-masing, kita harus kecilkan ancaman ini," katanya.- BERNAMA
Malaysia, Indonesia Setuju Bekerjasama Kongsi Maklumat Risikan Tangani IS Malaysia, Indonesia Setuju Bekerjasama Kongsi Maklumat Risikan Tangani IS Reviewed by Unknown on February 26, 2015 Rating: 5

1 comment:

  1. This comment has been removed by a blog administrator.

    ReplyDelete

ads 728x90 B
Powered by Blogger.