Seo Services

PM Mahu Semua Kawasan Luar Bandar Sarawak Dihubungkan Dengan Bandar


MARUDI: Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak mahu semua kawasan luar bandar di negeri ini dapat dihubungkan dengan kawasan bandar, kata Ketua Setiausaha Negara (KSN) Tan Sri Dr Ali Hamsa.

Ini bermakna katanya, semua kawasan di luar bandar perlu mempunyai akses jalan raya ke bandar-bandar berhampiran dan sekitarnya, menerusi projek pembinaan jalan raya tanpa perlu menelan kos yang terlalu tinggi.

“Pelaksanaan projek juga hendaklah dilaksanakan dalam tempoh yang singkat dan bernilai untuk wang.

“Maka dari situlah, tercetusnya idea pelaksanaan projek menggunakan Strategi Lautan Biru Kebangsaan bersama Angkatan Tentera Malaysia (ATM) yang diselaraskan oleh Unit Penyelarasan Pelaksanaan (ICU) Jabatan Perdana Menteri (JPM) yang dikenali sebagai Projek Jiwa Murni.

Beliau memberitahu demikian semasa berucap pada Majlis Pemimpin Bersama Rakyat di Rumah Jelaping Jail di Sungai Arang B, dekat sini, kelmarin.

Terdahulu sebelum itu beliau mengetuai rombongan ketua-ketua setiausaha pelbagai kementerian melawat Jambatan Sungai Arang yang menyambungkan Jalan Miri-Marudi dan menghubungkan pekan ini dengan bandar raya Miri.

Menurut Dr Ali lagi, usaha itu juga selaras dengan dasar kerajaan untuk turun padang dan merasai sendiri kehidupan seharian penduduk tempatan di kawasan luar bandar.

Beliau diberitahu bahawa sebelum pembinaan jalan berkenaan dilaksanakan, penduduk tempatan terutama di kawasan Sungai Arang, Bakong dan Marudi menghadapi kesulitan untuk turun ke Miri.

Malah sebelum ini, penduduk di situ mengambil masa sehingga empat jam untuk sampai ke bandar raya Miri, tetapi kini dengan adanya kemudahan jalan raya yang dibangunkan menerusi Projek Jiwa Murni, penduduk kini mengambil masa sejam setengah sahaja untuk pergi ke Miri dari Marudi dan sebaliknya.

“Penduduk di Sungai Arang seharusnya rasa bangga dengan kejayaan pembinaan jambatan ini kerana ia merupakan yang pertama seumpamanya dibina dan penduduk tempatan tidak lagi perlu membayar RM15 sehala hanya untuk menyeberangi Sungai Bakong.

“Dengan tersedianya kemudahan seperti ini, hubungan kekeluargaan dapat dieratkan dan anak-anak yang berhijrah ke bandar kini lebih mudah untuk pulang ke kampung halaman dan rumah-rumah panjang, menggunakan kenderaan masing-masing pada musim perayaan seperti Hari Gawai Dayak, Hari Krismas dan sebagainya,” jelas beliau.

Dr Ali memberitahu lagi, dengan terbinanya jalan ini, pendapatan penduduk tempatan juga dapat ditingkatkan kerana hasil pertanian dapat dipasarkan dengan mudah ke kawasan bandar.

Selain itu, golongan muda juga tidak perlu berhijrah dari kawasan kampung mereka sendiri apatah lagi dengan kos sara hidup yang dapat dikurangkan apabila jalan perhubungan ini dibina.

“Selepas ini (pembinaan Jalan Miri-Marudi), saya yakin lebih banyak kemudahan asas akan dapat dilaksanakan dan dibawa masuk ke kawasan-kawasan luar bandar kerana adanya jalinan jalan raya yang memudahkan perhubungan,” tambah beliau.

Dalam konteks kemudahan kesihatan pula katanya, jika berlaku kecemasan, pihak ambulans tidak perlu mengambil masa yang lama untuk memberi bantuan.

“Justeru, impak-impak positif yang terbit daripada perlaksanaan Projek Jiwa Murni ini seperti di pekan Marudi, kawasan pedalaman, Long Lopeng; Ba’ Kelalan dan di beberapa kawasan luar bandar lain yang dapat menjadi pemangkin kepada pelaksanaan projek-projek seumpama ini untuk memastikan pembangunan berterusan di kawasan luar bandar dan bandar pada masa depan,” ujarnya.

Turut hadir Menteri Muda Kemudahan Awam (Bekalan Air) dan Menteri Muda Pertanian (Pertubuhan Peladang) Datuk Sylvester Entri Muran serta Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri Datu Ose Murang. - UB
PM Mahu Semua Kawasan Luar Bandar Sarawak Dihubungkan Dengan Bandar PM Mahu Semua Kawasan Luar Bandar Sarawak Dihubungkan Dengan Bandar  Reviewed by uMieySurianie on February 16, 2015 Rating: 5

No comments:

ads 728x90 B
Powered by Blogger.