Pelakon dan pengacara dari Indonesia iaitu Bunga Citra Lestari mendedahkan sikap romantik suaminya pelakon Ashraf Sinclair merupkan salah satu kunci kebahagian rumah tangga mereka.
Bunga, 32, berkata, suaminya yang berasal dari Malaysia sering meninggalkan nota-nota kecil dengan kata-kata manis sebelum keluar meninggalkan rumah.
"Dia sangat romantik, sejak mengenalinya sehingga kini dia masih orang yang sama dan terbaik buat saya.
"Dari dulu dia suka meninggalkan nota kecil di tempat tersembunyi di rumah saya dan apabila saya bersedih atau bergembira dia akan meminta saya ambil nota itu. Ketika itu kami bercinta jarak jauh.
"Sekarang pun sama, dia masih meninggalkan nota seperti di bilik mandi sebelum pergi kerja supaya saya membacanya selepas bangun tidur," ujarnya kepada mStar Online, di sini, Rabu.
Bunga ditemui pada sidang media pelancaran single terbaharunya berjudul Wanita Terbahagia yang diadakan di Hotel Royale Chulan, di sini.
Sementara itu Bunga berkata, mereka juga mengamalkan prinsip jujur, mempercayai dan terbuka dalam berkomunikasi diantara satu sama lain.
Katanya, perkara itu diamalkan sejak dalam proses percintaan lagi.
Semasa bercinta, Bunga dan Ashraf masing-masing dipisahkan oleh dua buah negara.
"Kami tidak letak batasan kalau berada di luar cuma prinsip saling percaya, jujur dan terbuka dalam komunikasi diamalkan sejak daripada zaman bercinta.
"Kami bercinta jarak jauh dan perkara itu membuatkan hubungan itu lebih kuat dan saya tidak terlalu bimbang kerana percaya pada prinsip tersebut," ujarnya.
Ditanya tentang pembahagian masa terhadap kerjaya dan keluarga terutama bersama anaknya Noah yang berusia empat tahun Bunga berkata, mereka cuba membahagi masa sebaik mungkin.
Menurut Bunga, dia akan berusaha membawa anaknya ke lokasi penggambaran Ashraf bagi menghabiskan masa bersama.
"Kalau Ashraf sibuk berlakon, saya dan Noah akan ke lokasi penggambaran bagi menemani dia, begitu juga kalau saya yang sibuk, mereka datang menemani saya di lokasi," katanya.
Dalam pada itu, bercakap tentang lagu Wanita Terbahagia, Bunga berkata, karya itu mengambarkan dirinya yang sedang menjalani sebuah kehidupan keluarga yang sempurna.
Lagu ciptaan komposer Indonesia Dewiq dan Pay itu juga merupakan kemunculan semulanya dalam bidang nyanyian selepas dua tahun menyepi.
Pasangan ini mendirikan rumah tangga pada 8 November 2008 dan dikurniakan seorang cahaya mata Noah Sinclair (4 tahun).-mStar
Sikap Romantik Suami Kebahagiaan Rumah Tangga Bunga Citra Lestari
Reviewed by Unknown
on
February 26, 2015
Rating:
No comments: