KUCHING: Yang di-Pertua Negeri Tun Pehin Sri Abdul Taib Mahmud mahu masyarakat berbilang kaum khasnya komuniti Cina di negeri ini terus menyokong dan memberi peluang kepada kepimpinan tertinggi Sarawak yang baharu diterajui Datuk Patinggi Tan Sri Adenan Satem.
“Kita semua sedia maklum bahawa Sarawak telah melalui peralihan dalam pentadbirannya serta kepimpinan yang diteruskan oleh Ketua Menteri baharu (Adenan).
“Saya boleh pastikan, Adenan dapat memberikan rakyat dasar terbaik untuk masa depan dalam pelbagai aspek dan paling penting kita mahu komuniti Cina dapat memahami bahawa perubahan kepimpinan dalam kerajaan ini tidak akan merubah pendirian kerajaan terhadap kaum Cina,” katanya.
Beliau berkata demikan ketika berucap merasmikan Majlis Makan Malam Tahun Baharu Cina dan Sambutan UlangTahun Ke-36 Persekutuan Persatuan Masyarakat Cina Bahagian Kuching dan Samarahan di Restoran Thian Court, Crown Square di sini, malam kelmarin.
Taib menambah, melalui pentadbiran baharu ini jelas ditunjukkan bahawa komuniti Cina akan menjadi lebih difahami oleh kaum lain dan melalui kerajaan yang bekerja dan berfungsi melalui wakil rakyat pelbagai kaum di negeri ini.
“Saya merasakan, indikasi dan sikap Ketua Menteri baharu terhadap komuniti Cina jelas menunjukkan bagaimana kerajaan mahu Sarawak bergerak lebih jauh dalam masyarakat berbilang kaum.
“Bukan itu sahaja, saya lihat usaha kaum Cina sendiri bagi mendapatkan pemahaman lebih baik dengan kaum lain merupakan sesuatu yang positif kepada Sarawak,” jelasnya.
Mengulas mengenai Adenan, Taib berkata beliau bukanlah seorang yang asing dan mempunyai latar belakang yang sama sepertinya serta mempunyai sokongan kuat daripada pelbagai pihak.
“Saya pasti beliau dapat meneruskan hubungan kaum yang harmoni di negeri ini melalui interaksi dengan persatuan seperti Persatuan Masyarakat Cina Bahagian Kuching dan Samarahan ini.
“Oleh yang demikian, saya berasakan perlu bagi komuniti Cina memahami beliau dan dapat berjumpa serta berbincang dengannya,” tambahnya.
Untuk bersikap adil dan memberi peluang kepada Adenan yang hanya memiliki tempoh dua tahun sebelum pilihan raya seterusnya, Taib berharap agar beliau terus menumpukan usaha menghadapi pilihan raya untuk memastikan keharmonian kaum diteruskan kepada generasi baharu pada masa depan.
Jelasnya lagi, dapat disaksikan kerjasama erat berlaku dalam pelbagai bidang seperti ekonomi dan melalui pentadbiran baharu, kita memerlukan komuniti berpendidikan Cina dan Bumiputera bersedia untuk transformasi dalam memastikan Sarawak mencapai masa depan yang baik.
“Disebabkan kita memiliki aktiviti ekonomi yang pelbagai, ia memerlukan kerjasama generasi baharu yang memiliki pendidikan lebih baik, khasnya dalam bidang teknikal.
“Justeru, kita juga mahu masyarakat bersedia sebaiknya untuk menempuhi pembangunan yang semakin berkembang pesat,” nasihatnya.
Beliau turut berkata, pembahagian lebih banyak tugas dan peranan kepada kaum Cina untuk mentadbir negeri ini pastinya dapat mencapai impian Sarawak melahirkan masyarakat perindustrian.
Pada majlis tersebut, Taib ditemani isterinya Toh Puan Ragad Kurdi Taib.
Hadir sama Menteri Kewangan Kedua Dato Sri Wong Soon Koh, Menteri Muda Kesihatan Awam Datuk Dr Jerip Susil, Datuk Bandar Majlis Bandaraya Kuching Selatan (MBKS) Datuk James Chan, Presiden SUPP Senator Datuk Dr Sim Kui Hian, Konsul Besar China di Kuching Li Quan, Presiden Persekutuan Persatuan Masyarakat Cina Bahagian Kuching dan Samarahan Temenggung Lu Kim Yong dan Pengerusi Jawatankuasa Pengelola Richard Wee.
Terdahulu, majlis yang dihadiri lebih 115 ahli persatuan itu menyaksikan penyampaian Anugerah Tan Sri Datuk Amar Wee Boon Pin kepada dua penerima Kategori Pendidikan dan Kategori Perkhidmatan Komuniti serta penyampaian replika cek oleh penderma bagi membina bangunan baharu persatuan dan persembahan. - UB
Beri Peluang Kepada Kepimpinan Adenan: Taib
Reviewed by Salfian Nawawi
on
March 05, 2015
Rating:
Reviewed by Salfian Nawawi
on
March 05, 2015
Rating:

No comments: