SRI AMAN: Sarawak bakal memiliki sebuah lagi Kompleks Islam iaitu, keempat di negeri ini setelah pembinaan bangunan baharu bernilai RM50 juta bagi tujuan itu diluluskan pembinaannya pada Julai ini.
Menteri Muda di Pejabat Ketua Menteri (Hal Ehwal Islam), Datuk Daud Abdul Rahman berkata, kompleks baharu tersebut akan dibina di bandar ini dan dijangka dapat disiapkan dalam tempoh 30 bulan.
Beliau berkata, kos pembinaan bangunan tersebut dibiayai sepenuhnya oleh pihak Tabung Baitulmal Sarawak.
“Ini kompleks Islam keempat dibina di negeri ini selepas Kuching, Sibu dan Miri.
“Apabila siap nanti, premis setinggi tujuh tingkat ini bakal menempatkan pejabat kerajaan dan pusat komersial di sekelilingnya,” kata beliau dalam sidang akhbar sempena Majlis Tilawah Al-Quran Peringkat Negeri Sarawak 1436H/2015 di Pejabat Residen Sri Aman di sini semalam.
Yang turut hadir Residen Bahagian Sri Aman, Johnathan Lugoh; Pegawai Daerah Sri Aman, Ismawie Salleh dan Setiausaha Majlis Agama Islam Sarawak, Ismail Mohd. Anis.
Mengulas lanjut, Daud berkata, Kompleks Islam baharu tersebut akan dibina bersebelahan Taman Panorama Benak berhadapan dengan Pejabat Residen Sri Aman di atas tapak berkeluasan 2.4 hektar.
Katanya, upacara peletakan batu asas projek pembinaan kompleks itu akan disempurnakan oleh Yang Dipertua Negeri, Tun Abdul Taib Mahmud pada 29 Mac ini.
Dalam pada itu, beliau memberitahu, Sri Aman bakal menjadi tuan rumah bagi Majlis Tilawah Al-Quran Peringkat Negeri Sarawak 1436H/2015 yang diadakan mulai 26 hingga 29 Mac ini.
“Majlis yang berlangsung di Dewan Suarah Sri Aman itu bertujuan memilih qari dan qariah dari seluruh negeri ini bagi mewakili Sarawak ke Majlis Tilawah Al-Quran peringkat kebangsaan.
“Acara lain turut diadakan sempena program tersebut ialah kuiz al-Quran, jualan dan ekspo barangan serta majlis meraikan jemaah hakim,” katanya. - UM
Kompleks Islam RM50 Juta Dibina Di Sri Aman
Reviewed by Salfian Nawawi
on
March 12, 2015
Rating:
Reviewed by Salfian Nawawi
on
March 12, 2015
Rating:

No comments: