Seo Services

Operasi Pembalakan Haram Di Sarawak Berjaya


KUCHING: Ketua Menteri Datuk Patinggi Tan Sri Adenan Satem malam kelmarin memaklumkan bahawa operasi pembalakan haram yang telah dilaksanakan di seluruh negeri ini telah membuahkan kejayaan.

Menurutnya, kejayaan tersebut merupakan hasil usaha semua pihak termasuk Sarawak Forestry Corporation (SFC) bersama agensi penguatkuasaan dalam menerajui dan membanteras kegiatan tersebut.

“Saya ingin memaklumkan kepada pemimpin terdahulu kita (Tun Taib) bahawa usaha membanteras pembalakan haram di negeri ini kini berada di tahap yang berjaya.

“Walaupun keputusan dan hasil kejayaan ini di luar jangkaan kita, namun kita masih belum berpuas hati sehingga setiap kawasan pembalakan haram di negeri ini diserbu dan dihentikan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Makan Malam Penghargaan kepada bekas Pengerusi SFC Tun Pehin Sri Abdul Taib Mahmud di Hotel Imperial di sini, malam kelmarin.

Jelasnya, sekiranya tidak mengambil langkah dari sekarang dan berterusan pasti hutan akan tiada lagi, yang juga merupakan tempat hidupan liar seperti orang utan tinggal.

Justeru, Adenan memaklumkan bahawa pada April depan, kerajaan akan memperkenalkan perundangan baharu bagi mengukuhkan akta dan ordinan bagi meningkatkan usaha membanteras pembalakan haram.

Dalam pada itu, Adenan berkata kerjasama masyarakat awam termasuk pertubuhan bukan kerajaan (NGO) amat penting dalam mengatasi masalah pembalakan ahram di negeri ini.

“Kita sangat gembira kerana tindakan positif diterima daripada masyarakat yang telah membuat laporan setiap hari kepada kita.

“Mereka tidak seperti dahulu, telah berani melaporkan perkara berkaitan pembalakan haram ini.

“Keadaan ini disebabkan mereka tahu dan mempercayai bahawa kita tegas dalam menangani isu ini dan kita akan siasat setiap laporan yang diberikan kepada kita ini.

“Begitu juga dengan pihak NGO, kita berharap mereka dapat membantu kita dan bukannya hanya menyalahkan kerajaan sahaja,” ujarnya.

Sementara itu, Pengerusi SFC Datu Dr Yusoff Hanifah memberitahu, dalam tempoh dua bulan pertama tahun ini pihaknya telah berjaya merampas lebih 2,300 kayu balak haram dengan harga pasaran bernilai lebih RM2 juta.

“Ketua Menteri telah membuat keputusan tepat untuk tidak lagi mengeluarkan atau memperbaharui lesen pembalakan.

“Pembekuan ini sudah tentu dapat membantu kami membendung gejala dalam masyarakat kita.

“Terdapat banyak persoalan dibangkitkan mengenai apakah yang dilakukan terhadap balak yang dirampas itu.

“Justeru, saya ingin mengambil kesempatan untuk menjelaskan sekali lagi bahawa mengikut persetujuan prosedur operasi standard (SOP), Jabatan Perhutanan merupakan agensi bertanggungjawab ke atasnya,” ujarnya.

Menceritakan mengenai SFC, Yusoff berkata SFC telah ditubuhkan selama 12 tahun dan pada tahun ini pihaknya yakin setiap cabaran mendatang di bawah nasihat dan panduan Tun Taib akan memastikan mereka berada di landasan yang betul dalam mencapai matlamat dan objektifnya.

“Kira-kira 20 tahun lalu, beliau (Tun Taib) telah menyaksikan bahawa pengurusan sumber hutan kita telah ketinggalan, penuh dengan pembaziran dan tenaga kerja kurang mahir berikutan ketidakcekapan dan kurang inisiatif dalam kalangan ketua yang dilantik bagi menerajui Jabatan Perhutanan.

“Di situlah munculnya usaha beliau melalui penyelesaian bagi mengatasi masalah organisasi yang kronik ini dengan membawa International Timber Tropical Organisation (ITTO) bagi menjalankan kajian terhadap pengurusan hutan di Sarawak,” ujarnya.

Hasilnya, beliau juga telah mengambil langkah berani dengan menubuhkan SFC pada ketika itu di bawah syarikat pengurusannya SFC Sdn Bhd (SFCSB), jelasnya. - UB
Operasi Pembalakan Haram Di Sarawak Berjaya Operasi Pembalakan Haram Di Sarawak Berjaya Reviewed by uMieySurianie on March 09, 2015 Rating: 5

No comments:

ads 728x90 B
Powered by Blogger.